Kitab Suci Zabur dan Injil/1 Yohanes

diterjemahkan oleh tim Pengamat Kitab Mulia (2013); CC-BY-ND 4.0

Pasal 1 2 3 4 5


1

Firman Tuhan yang hidup

1Apa yang telah wujud sejak dari mulanya, yang telah kami dengar, yang telah kami lihat, dan yang telah kami sentuh dengan tangan – itulah yang kami beritakan tentang Firman yang memberi hidup.

2Hidup itu telah ditunjukkan; kami telah melihat, dan memberikan kesaksian, serta memberitahumu tentang hidup kekal bersama Bapa yang telah ditunjukkan kepada kami. 3Kami memberitahumu apa yang telah kami lihat dan dengar, supaya kamu juga dapat bersaudara dengan kami. Sesungguhnya kami hidup dalam keakraban dengan Bapa dan Putera-Nya Isa al-Masih. 4Kami menulis tentang segala ini kepadamu supaya kebahagiaanmu sempurna.

Allah itu cahaya

5Inilah perutusan yang telah kami dengar daripada-Nya dan sampaikan kepadamu: Allah itu cahaya; dan sama sekali tiada kegelapan dalam-Nya. 6Sekiranya kita mengatakan bahawa kita hidup dalam keakraban dengan-Nya sedangkan kita melangkah dalam kegelapan, maka kita berdusta dan tidak mengamalkan kebenaran. 7Tetapi jika kita melangkah dalam cahaya, sebagaimana Allah wujud dalam cahaya, maka benar-benarlah kita hidup dalam persaudaraan satu sama lain, dan darah Isa, Putera-Nya, menyucikan kita daripada segala dosa.

8Sekiranya kita mengatakan bahawa kita tidak berdosa, ertinya kita menipu diri kita sendiri dan kebenaran tidak ada di dalam diri kita. 9Tetapi jika kita mengakui dosa kita kepada Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan berlaku adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan menyucikan kita daripada segala kesalahan. 10Namun sekiranya kita mengatakan bahawa kita tidak pernah berdosa, kita menuduh Allah itu pendusta, dan firman-Nya tiada di dalam diri kita.

↑ ↑ ↑ 2

1Anak-anakku, aku menuliskan hal-hal ini kepadamu supaya kamu tidak berbuat dosa. Dan jika sesiapa berbuat dosa, kita mempunyai seorang Pembela ke hadirat Allah Bapa, iaitu Isa al-Masih Yang Benar itu. 2Dialah korban pendamaian bagi dosa kita, malah bukan dosa kita sahaja tetapi dosa seluruh umat manusia. 3Jika kita taat akan perintah Allah, benarlah kita mengenal-Nya. 4Sekiranya seseorang berkata, ‘Aku mengenal Allah,’ tetapi tidak taat akan perintah-Nya, maka dia seorang pendusta dan kebenaran tidak ada di dalam dirinya. 5Tetapi jika sesiapa taat akan firman Allah, maka sempurnalah kasih Allah di dalam orang itu. Dengan demikian kita ketahui kita ada di dalam Dia: 6Sesiapa berkata bahawa dia tetap di dalam Allah, hendaklah dia menurut jejak langkah al-Masih.

7Sahabat-sahabat yang kukasihi, perintah yang kutulis ini bukanlah perintah baru. Perintah ini perintah lama, yang telah kamu terima dari mulanya. Perintah lama ini firman Allah yang telah kamu dengar. 8Namun demikian, perintah yang kutulis ini tetap baru: Kebenarannya ternyata pada diri al-Masih dan dirimu. Ini disebabkan kegelapan hampir berlalu dan cahaya yang benar telah pun bersinar. 9Sesiapa yang berkata bahawa dia hidup dalam cahaya tetapi dia benci akan saudaranya, maka dia tetap berada dalam kegelapan hingga sekarang. 10Sesiapa yang kasih akan saudaranya hidup di dalam cahaya dan dalam dirinya tidak ada sesuatu pun yang dapat membuatnya kecundang. 11Tetapi sesiapa yang benci akan saudaranya hidup dalam kegelapan. Dia melangkah dalam kegelapan dan tidak tahu ke mana hala tujunya, kerana kegelapan telah membutakannya.

12Anak-anakku, aku menulis kepadamu, kerana dosamu telah diampunkan atas nama al-Masih. 13Bapa-bapa, aku menulis kepadamu, kerana kamu mengenal Dia yang telah wujud dari mulanya. Orang muda, aku menulis kepadamu, kerana kamu telah menewaskan si durjana. Anak-anakku, aku menulis kepadamu, kerana kamu mengenal Allah Bapa.

14Aku menulis kepadamu, bapa-bapa, kerana kamu mengenal Dia yang telah wujud dari mulanya. Aku menulis kepadamu, orang muda, kerana imanmu kukuh, kamu menaruh firman Allah di dalam dirimu, dan kamu telah menewaskan si durjana.

Jangan kasihi dunia

15Jangan kasihi dunia ini atau sesuatu di dalamnya. Jika kamu mengasihi dunia ini, kamu tidak mengasihi Allah Bapa. 16Segala yang ada di dunia ini – keinginan nafsu dan mata, serta segala keangkuhan hidup – bukanlah daripada Allah Bapa tetapi daripada dunia. 17Dunia dan segala hawa nafsu yang ada di dalamnya sedang lenyap, tetapi orang yang melakukan kehendak Allah akan kekal selama-lamanya.

Penentang al-Masih

18Anak-anakku, akhir zaman sudah hampir menjelang. Kamu telah diberitahu bahawa dajal, penentang al-Masih itu, akan muncul. Sekarang pun telah muncul ramai orang yang menentang al-Masih. Dengan demikian kita tahu bahawa akhir zaman sudah hampir menjelang. 19Mereka telah memisahkan diri daripada kita. Tetapi mereka sebenarnya bukanlah sebahagian daripada kita. Jika mereka benar-benar sebahagian daripada kita, tentulah mereka tetap bersama kita. Oleh itu, tindakan mereka memisahkan diri daripada kita menunjukkan kesemua mereka itu bukanlah benarbenar sebahagian daripada kita.

20Kamu telah menerima pengurapan Roh Suci, maka kamu mengenal kebenaran. 21Aku menulis kepadamu bukan kerana kamu tidak mengenal kebenaran tetapi kerana kamu mengenalnya. Kamu juga tahu bahawa yang dusta tidak berasal daripada yang benar. 22Sesiapa yang mengatakan bahawa Isa bukan al-Masih, dialah pendusta. Orang itu tidak mengakui Bapa dan Putera-Nya, dan dialah dajal, penentang al-Masih. 23Sesiapa yang tidak mengakui Putera, maka dia juga tidak mengakui Bapa. Sesiapa yang menerima Putera, maka dia juga menerima Bapa.

24Oleh yang demikian, pastikan perkhabaran yang kamu dengar dari mulanya tetap ada dalam dirimu. Jika perkhabaran itu tetap ada dalam dirimu, kamu akan sentiasa tetap di dalam Putera dan juga di dalam Bapa. 25Inilah yang dijanjikan kepada kita, iaitu hidup yang kekal.

26Aku menulis kepadamu tentang mereka yang hendak menyesatkanmu. 27Tetapi bagi kamu, kurnia Roh yang kamu terima daripada-Nya itu tetap ada dalam dirimu. Kamu tidak memerlukan ajaran daripada sesiapapun, kerana Roh-Nya telah mengajar segalanya kepadamu, dan segalanya benar, tidak ada yang dusta. Oleh itu, tetaplah kamu di dalam Dia.

Anak-anak Allah

28Sekarang pun, hai anak-anakku, kamu harus tetap di dalam-Nya, supaya apabila Dia datang kelak, kita dapat menghadapi-Nya dengan berani, tanpa rasa malu.

29Jika kamu tahu bahawa Dia itu benar, maka kamu harus tahu bahawa orang yang melakukan kebenaran telah menerima hidup baru daripada Allah.

↑ ↑ ↑ 3

1Ketahuilah betapa kasihnya Allah Bapa kepada kita sehingga kita disebut anak-anak Allah! Dan sememanglah begitu! Itulah sebabnya dunia ini tidak mengenal kita, dunia ini tidak mengenal Allah.

2Sahabat-sahabat yang kukasihi, sekarang ini kita anak-anak Allah, tetapi belum nyata bagaimana keadaan kita kelak. Tetapi kita tahu bahawa apabila al-Masih datang, kita akan menjadi seperti-Nya, kerana kita akan melihat-Nya dalam keadaan-Nya yang sebenar. 3Sesiapa yang menaruh harapan ini kepada al-Masih akan memelihara dirinya supaya suci, sebagaimana al-Masih itu suci.

4Sesiapa yang berbuat dosa, dia melakukan keleluasaan kerana dosa itu perbuatan keleluasaan.

5Kamu tahu bahawa al-Masih dihantar untuk menghapuskan dosa umat manusia, di dalam diri-Nya tiada dosa. 6Oleh itu, sesiapa yang tetap di dalam al-Masih tidak akan berbuat dosa berterusan. Sesiapa yang terus berbuat dosa belum melihat dan mengenal Dia.

7Anak-anakku, jangan biarkan sesiapapun menyesatkanmu. Sesiapa yang melakukan apa yang benar adalah orang yang benar, seperti al-Masih. 8Orang yang terus berbuat dosa itu berasal daripada Iblis, kerana dari mulanya lagi Iblis telah berbuat dosa. Itulah sebabnya Putera Allah datang untuk membinasakan pekerjaan Iblis. 9Sesiapa yang menjadi anak Allah tidak akan berbuat dosa berterusan kerana benih Allah ada di dalam dirinya. Oleh sebab Allah itu Bapanya, dia tidak mungkin berbuat dosa berterusan. 10Dengan demikian nyatalah perbezaan antara anak-anak Allah dengan anak-anak Iblis. Orang yang tidak melakukan apa yang benar bukanlah anak Allah, demikian juga orang yang tidak mengasihi saudaranya.

Saling mengasihi

11Kamu telah mendengar perkhabaran ini dari mulanya: Kita harus kasih-mengasihi. 12Janganlah kita bertindak seperti Kabil yang asalnya daripada Iblis dan membunuh adiknya sendiri. Mengapakah dia membunuh adiknya? Semata-mata kerana perbuatannya salah sedangkan perbuatan adiknya benar. 13Oleh itu, saudara-saudaraku, janganlah hairan jika kamu dibenci oleh orang di dunia ini.

14Kita tahu bahawa kita terus hidup dan tidak akan binasa kerana kita mengasihi saudara-saudara kita. Sesiapa yang tidak mengasihi saudaranya akan tetap dikuasai oleh maut. 15Sesiapa yang benci akan saudaranya adalah pembunuh. Kamu tahu bahawa seorang pembunuh tidak mempunyai hidup yang kekal di dalam dirinya.

16Dengan demikian kita tahu bagaimana cara mengasihi seseorang: Isa al-Masih telah menyerahkan nyawa-Nya untuk kita. Oleh itu kita harus menyerahkan nyawa kita untuk saudara-saudara kita. 17Jika seorang yang berharta melihat saudaranya yang miskin memerlukan bantuan tetapi tidak mahu menolongnya, bagaimanakah kasih Allah dapat hidup dalam dirinya? 18Anak-anakku, janganlah kasih kita di mulut sahaja. Kita hendaklah kasih-mengasihi melalui perbuatan dan kebenaran yang sejati. 19Dengan demikian kita tahu bahawa kita anak-anak Allah yang benar dan hati kita tetap damai di hadirat Allah 20sekiranya hati nurani kita menyalahkan kita. Ini kerana kita tahu bahawa Allah lebih besar daripada hati kita dan Allah Maha Mengetahui.

21Oleh yang demikian, saudara-saudara yang kukasihi, jika hati nurani kita tidak menyalahkan kita, kita dapat menghadap Allah dengan tetap hati. 22Kita menerima apa yang kita minta daripada-Nya kerana kita taat akan perintah-Nya dan melakukan apa yang diredai-Nya. 23Perintah-Nya adalah: kita harus percaya akan nama Putera-Nya, Isa al-Masih, dan kasih-mengasihi seperti suruhan al-Masih. 24Sesiapa yang taat akan perintah-Nya tetap ada di dalam Allah dan Allah ada di dalamnya. Kita tahu bahawa Allah tetap ada di dalam kita kerana Dia telah mengurniakan Roh-Nya kepada kita.

↑ ↑ ↑ 4

Ujilah setiap roh

1Saudara-saudara yang kukasihi, jangan percayai setiap roh. Sebaliknya ujilah setiap roh itu sama ada datang daripada Allah kerana terdapat ramai nabi palsu di merata-rata. 2Untuk memastikan sama ada roh itu Roh Allah, inilah caranya: Jika roh itu mengakui bahawa Isa al-Masih telah datang ke dunia sebagai manusia, maka roh itu datang daripada Allah. 3Tetapi jika roh itu menolak hakikat tentang al-Masih ini, nyatalah roh itu bukan daripada Allah tetapi daripada dajal, penentang al-Masih. Kamu sudah mendengar bahawa roh itu akan muncul. Sekarang roh itu sudahpun ada di dunia ini.

4Namun demikian, anak-anakku, kamu milik Allah. Kamu telah menewaskan nabi-nabi palsu itu, kerana roh yang ada padamu lebih berkuasa daripada roh yang ada di dalam dunia. 5Nabinabi palsu itu berkata tentang hal ehwal daripada pandangan dunia dan orang dunia ini mendengar kata-kata mereka kerana mereka milik dunia ini. 6Tetapi kita milik Allah. Sesiapa yang mengenal Allah mendengar kata-kata kita dan sesiapa yang bukan milik Allah tidaklah mahu mendengar katakata kita. Demikianlah caranya kita mengenal pasti Roh yang membawa kebenaran dan roh yang menyesatkan.

Kasih Allah

7Saudara-saudara yang kukasihi, marilah kita kasih-mengasihi kerana kasih itu datang daripada Allah. Sesiapa yang kasih-mengasihi mengenal Allah dan mereka anak Allah. 8Sesiapa yang tidak mengasihi sesama manusia tidak mengenal Allah kerana Allah itu kasih. 9Begitu kasihnya Allah kepada kita sehingga Dia menghantar Putera-Nya yang tunggal ke dunia supaya melalui-Nya kita mendapat hidup yang kekal. 10Demikianlah kasih: bukannya kita mengasihi Allah tetapi Allah mengasihi kita lalu menghantar Putera-Nya sebagai korban pendamaian bagi dosa kita. 11Saudarasaudara yang kukasihi, Allah amat mengasihi kita, maka haruslah kita kasih-mengasihi. 12Tiada siapa pernah melihat Allah tetapi jika kita kasih-mengasihi, Allah tetap ada di dalam kita dan kasih-Nya disempurnakan dalam diri kita.

13Oleh sebab Allah telah mengurniakan Roh-Nya kepada kita, tahulah kita bahawa kita tetap ada di dalam Allah dan Allah di dalam kita. 14Kami telah melihat Putera dan menyebarkan berita bahawa Bapa telah menghantar Putera-Nya sebagai al-Masih, Penyelamat dunia ini. 15Sesiapa yang mengakui Isa itu Putera Allah, nescaya Allah tetap di dalam orang itu dan dia pun di dalam Allah.

16Kita tahu dan yakin sepenuh hati bahawa Allah mengasihi kita. Allah itu kasih. Sesiapa yang sentiasa mengasihi sesama manusia tetap ada di dalam Allah, dan Allah tetap di dalam dia. 17Dengan cara ini, kasih disempurnakan dalam diri kita supaya kita berani pada Hari Penghakiman nanti kerana hidup kita di dunia ini sama seperti hidup al-Masih di dunia.

18Dalam kasih tidak ada ketakutan. Kasih yang sempurna menghilangkan segala rasa takut kerana ketakutan ada kaitan dengan hukuman. Dengan demikian, orang yang takut belum mengenal kasih yang sempurna.

19Kita mengasihi sesama manusia kerana Tuhan terlebih dahulu mengasihi kita. 20Jika sesiapa berkata, ‘Aku mengasihi Allah,’ tetapi dia benci akan saudaranya, dia seorang pendusta. Jika dia tidak mengasihi saudaranya yang dapat dilihatnya, betapa dia mengasihi Allah yang tidak dapat dilihatnya? 21Al-Masih telah memberi kita perintah ini: Sesiapa yang mengasihi Allah mesti mengasihi saudaranya juga.

↑ ↑ ↑ 5

Beriman pada al-Masih

1Sesiapa percaya bahawa Isa iaitu al-Masih, maka orang itu anak Allah. Sesiapa mengasihi bapa mengasihi anaknya juga. 2Dengan demikianlah kita tahu bahawa kita mengasihi anak-anak Allah apabila kita mengasihi Allah dan mentaati perintah-Nya. 3Jika kita mengasihi Allah, maka kita taat akan perintah Allah. Tidak sukar bagi kita untuk taat akan perintah-Nya, 4kerana setiap anak Allah dapat menewaskan dunia. Inilah kemenangan yang mengalahkan dunia, iaitu iman kita. 5Siapakah yang dapat menewaskan dunia? Hanya orang yang percaya bahawa Isa Putera Allah.

6Isa al-Masih telah datang ke dunia dengan air dan darah. Dia datang bukan dengan air sahaja tetapi dengan air dan darah. Roh adalah saksi dan Roh adalah benar. 7Ada tiga yang memberi kesaksian: 8Roh Suci, air dan darah, ketiga-tiganya memberi kesaksian yang sama. 9Jika kita percaya akan kesaksian manusia, maka kesaksian Allah lebih kuat lagi kerana inilah kesaksian yang diberikan Allah tentang Putera-Nya. 10Oleh yang demikian, sesiapa yang percaya kepada Putera Allah menyimpan kesaksian itu di dalam dirinya. Sebaliknya, sesiapa yang tidak percaya kepada Allah, maka dia menuduh Allah itu pendusta kerana dia tidak percaya akan kesaksian-Nya tentang Putera-Nya. 11Kesaksian itu ialah: Allah memberi kita hidup yang kekal dan hidup ini ada di dalam Putera-Nya. 12Sesiapa yang memperoleh Putera itu, memperoleh hidup itu. Dan sesiapa yang tidak memperoleh Putera Allah, tidak memperoleh hidup itu.

Pengetahuan tentang hidup yang kekal

13Aku menulis surat ini kepada kamu yang percaya kepada nama Putera Allah agar kamu mengetahui bahawa kamu memperoleh hidup yang kekal. 14Kita dapat menghadap Allah dengan keyakinan bahawa Dia mengabulkan segala doa kita yang selaras dengan kehendak-Nya. 15Kita tahu bahawa dia sentiasa mendengar permohonan kita ke hadirat-Nya. Kita tahu juga bahawa Dia mengurniakan apa yang kita minta daripada-Nya.

16Sekiranya kamu melihat saudara seimanmu melakukan dosa, dan dosa itu tidaklah mengakibatkan kematian, berdoalah semoga Allah memberinya hidup. Tetapi ada dosa yang mengakibatkan kematian. Aku tidak mengatakan bahawa dia harus berdoa tentang hal itu. 17Setiap perbuatan salah itu dosa, tetapi sesetengah dosa tidaklah mengakibatkan kematian.

18Kita tahu bahawa anak-anak Allah tidak melakukan dosa berterusan; Dia yang datang daripada Allah melindungi dirinya lantas Iblis tidak berupaya menyesatkannya. 19Kita tahu bahawa kita milik Allah walaupun dunia diperintah oleh Iblis. 20Kita tahu bahawa Putera Allah telah datang dan memberi kita pengertian, supaya kita mengenal Dia yang benar. Kita ada di dalam Dia yang benar bahkan di dalam Putera-Nya, Isa al-Masih. Inilah Allah, Tuhan yang benar dan hidup yang kekal.

21Anak-anakku, jauhkanlah dirimu daripada berhala.

↑ ↑ ↑