Kitab Suci Zabur dan Injil/Wahyu

diterjemahkan oleh tim Pengamat Kitab Mulia (2013); CC-BY-ND 4.0

Pasal 1 2 3 4 5 67 8 9 10 11 12 1314 15 1617 18 19 20 2122


1

Pendahuluan

1Inilah wahyu Isa al-Masih yang dinyatakan Allah kepada-Nya supaya Dia menyampaikan kepada hamba-hamba-Nya segala yang pasti segera terjadi. Al-Masih menghantarkan malaikat-Nya untuk memberitahu perkara-perkara itu kepada hamba-Nya Yahya. 2Maka Yahya pun bersaksi tentang semua yang telah dilihatnya iaitu Firman Allah dan kesaksian Isa al-Masih. 3Diberkatilah orang yang membaca kata-kata nubuat ini dan mendengarnya serta mematuhi apa yang tersurat di dalamnya, kerana masanya sudah dekat.

Salam kepada tujuh jemaah

4Daripada Yahya kepada tujuh jemaah di Asia Kecil: Kasih kurnia dan kesejahteraan kepadamu daripada Allah, iaitu Dia yang ada sekarang, yang ada dahulu dan yang akan datang, juga daripada tujuh roh yang di hadapan takhta-Nya, 5dan daripada Isa al-Masih, Saksi Setia. Dialah yang pertama dibangkitkan dari kalangan orang mati dan Dialah Raja kepada sekalian raja dunia. Isa mengasihi kita, maka Dia membebaskan kita daripada segala dosa kita dengan darah-Nya 6serta menjadikan kita suatu kerajaan, dan imam-imam bagi Allah Tuhan-Nya dan Bapa-Nya. Bagi-Nyalah kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya. Amin.

7Lihatlah, Dia datang dalam awan! Seluruh umat manusia akan melihat-Nya, termasuk mereka yang telah menikam Dia. Semua bangsa di bumi akan berkabung kerana Dia. Ya, tentu sekali. Amin.

8‘Akulah Alif dan Ya, yang pertama dan yang terakhir,’ demikian firman Allah, Tuhan Yang Maha Kuasa, yang ada sekarang, yang ada dahulu dan yang akan datang.

Penglihatan di Patmos

9Aku, Yahya, saudara dan teman senasibmu dalam kesengsaraan, kerajaan dan ketabahan dalam Isa, berada di pulau Patmos kerana firman Allah dan kesaksian Isa. 10Pada hari Tuhan, Roh menguasaiku, lalu aku mendengar suara yang lantang, seperti bunyi sangkakala, berkata-kata di belakangku. 11Suara itu berkata, ‘Tuliskanlah apa yang kaulihat dan hantarkan kitab itu kepada tujuh jemaah: Efesus, Smirna, Pergamus, Tiatira, Sardis, Filadelfia dan Laodikia.

12Aku menoleh ke belakang untuk melihat siapa yang berkata-kata itu. Kulihat tujuh kaki pelita daripada emas. 13Di tengah-tengah kaki pelita itu kelihatan suatu lembaga seakan-akan putera insan, berjubah labuh sampai ke kaki dan memakai seutas pending emas yang meliliti dada-Nya. 14Rambut-Nya putih seperti kapas dan mata-Nya menyala-nyala laksana api. 15Kaki-Nya bersinar umpama gangsa digilap dan suara-Nya ibarat deru air terjun yang hebat. 16Tangan kanan-Nya memegang tujuh bintang dan dari mulut-Nya keluar sebilah pedang mata dua yang tajam. Wajah-Nya bersinarsinar laksana matahari pada waktu tengah hari.

17Apabila aku melihat-Nya, rebahlah aku di kaki-Nya seolah-olah tidak bernyawa lagi. Dia meletakkan tangan kanan-Nya ke atasku lalu berfirman, ‘Janganlah takut! Akulah yang pertama dan yang terakhir. 18Akulah Dia yang hidup. Aku pernah mati, tetapi lihatlah, Aku hidup selamalamanya. Aku memegang anak kunci kematian dan alam maut.

19‘Oleh itu, tuliskanlah segala yang kaulihat, baik yang ada sekarang mahupun yang akan terjadi.

20Inilah maksud perlambangan tujuh bintang yang kaulihat di tangan kanan-Ku dan tujuh kaki pelita daripada emas itu. Tujuh bintang itu melambangkan para malaikat jemaah di tujuh tempat itu manakala tujuh kaki pelita itu melambangkan jemaah di situ.’

↑ ↑ ↑ 2

Surat kepada jemaah di Efesus

1‘Kepada malaikat jemaah di Efesus, tulislah: Inilah firman daripada Dia yang memegang tujuh bintang di tangan kanan-Nya dan yang melangkah di antara tujuh kaki pelita daripada emas: 2Aku tahu perbuatanmu, jerih payahmu dan ketabahanmu. Aku tahu bahawa kamu tidak tahan lagi dengan kejahatan orang durjana. Kamu telah menguji orang yang membuat pengakuan palsu bahawa mereka rasul padahal mereka bukan, dan kamu telah mendapati mereka itu pendusta. 3Kamu tetap tabah dan tetap menderita kerana nama-Ku tanpa berputus asa.

4Namun demikian, Aku mencelamu kerana satu perkara: Kamu telah meninggalkan kasihmu yang pertama. 5Sedarilah betapa dalamnya kamu telah terjerumus. Bertaubatlah dan lakukanlah apa yang kamu lakukan mula-mula lagi. Jika tidak, Aku akan datang dan mengalihkan kaki pelitamu dari tempatnya. 6Namun, ada sesuatu yang baik padamu: Kamu benci akan perbuatan pengikut Nikolaus yang juga Kubenci.

7Sesiapa yang bertelinga, dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah. Kepada yang menang akan Kuizinkan makan buah dari pohon hidup di taman Firdaus Allah.

Surat kepada jemaah di Smirna

8‘Kepada malaikat jemaah di Smirna, tulislah: Inilah firman daripada Dia yang pertama dan yang terakhir, yang telah mati dan hidup semula.

9Aku tahu akan kesengsaraanmu. Aku tahu kamu miskin, tetapi sebenarnya kamu kaya. Aku tahu akan fitnah yang dilemparkan kepadamu oleh orang yang mengaku dirinya orang Yahudi tetapi sebenarnya mereka bukan. Mereka jemaah Iblis. 10Janganlah takut terhadap apa yang akan kamu deritai kelak. Ketahuilah, Iblis akan menghumbankan sebilangan daripadamu ke dalam penjara untuk mengujimu. Kamu akan menanggung kesengsaraan selama sepuluh hari. Setialah sampai mati, maka aku akan menganugerahimu mahkota hidup sebagai ganjaran untuk kemenangan.

11Sesiapa yang bertelinga, dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah. Mereka yang menang tidak akan mengalami sengsara kematian yang kedua.

Surat kepada jemaah di Pergamus

12‘Kepada malaikat jemaah di Pergamus, tulislah: Inilah firman daripada Dia yang memiliki sebilah pedang mata dua yang tajam. 13Aku tahu akan tempat kediamanmu. Di situlah Iblis bertakhta. Namun, kamu setia berpegang kepada nama-Ku. Malah kamu tidak menyangkal imanmu kepada-Ku ketika Antipas, saksi-Ku yang setia, dibunuh di tempat kediaman Iblis.

14Tetapi aku mencelamu kerana beberapa perkara: Ada di antaramu yang menganut ajaran Bileam. Bileam telah mengajak Balak untuk memujuk umat Israel supaya berdosa dengan makan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala serta melakukan pencabulan. 15Secara itu juga ada sebilangan daripadamu yang mengikut ajaran Nikolaus. 16Bertaubatlah. Jika tidak, Aku akan datang segera kepadamu dan menyerang mereka dengan pedang yang keluar dari mulut-Ku.

17Sesiapa yang bertelinga, dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah. Aku akan memberikan sebahagian manna yang tersembunyi kepada mereka yang menang. Juga aku akan memberinya batu putih yang bertulis nama baru, yang tidak diketahui oleh sesiapa selain penerimanya.

Kepada jemaah di Tiatira

18‘Kepada malaikat jemaah di Tiatira, tulislah: Inilah kata-kata daripada Putera Allah, yang mata-Nya menyala-nyala seperti api, dan kaki-Nya laksana gangsa digilap. 19Aku tahu perbuatanmu, kasihmu, imanmu, pelayananmu dan ketabahanmu. Aku juga tahu bahawa kamu sekarang lebih banyak berusaha daripada dahulu.

20Namun, Aku mencelamu kerana satu perkara: Kamu membenarkan perempuan bernama Izebel yang mengaku dirinya nabiah Allah itu mengajar umat-Ku. Dia mengajar dan menyesatkan hambahamba-Ku sehingga mereka melakukan pencabulan dan makan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala. 21Aku telah memberinya peluang untuk bertaubat tetapi dia enggan menghentikan perbuatannya yang cabul. 22Ketahuilah, Aku akan menghukumnya dengan sakit terlantar dan mereka yang berzina dengannya akan menanggung kesengsaraan yang dahsyat melainkan mereka bertaubat daripada perbuatan mereka dengannya. 23Aku juga akan meragut nyawa anak-anaknya, supaya seluruh jemaah tahu bahawa Akulah yang menyelami hati dan fikiran manusia. Aku akan memberikan balasan yang setimpal dengan perbuatan setiap orang. 24Tetapi sesetengah daripada kamu di Tiatira tidak mengikut ajaran durjana itu. Kamu tidak menuntut ilmu daripada Iblis. Aku berkata kepadamu bahawa aku tidak akan menambahkan bebanmu dengan kewajipan baru.

25Namun, kamu haruslah memelihara apa yang sudah ada padamu, hingga saat Aku datang nanti.

26Kepada yang menang dan melakukan kehendak-Ku sampai akhir akan Kuanugerahi kekuasaan ke atas bangsa-bangsa.

27“Dia akan memerintah mereka dengan tongkat besi kerajaan dan meremukkan mereka seperti tembikar” – seiring dengan kekuasaan yang telah Kuterima daripada Bapa-Ku. 28Aku akan menganugerahi mereka bintang fajar. 29Sesiapa yang bertelinga, dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah.

↑ ↑ ↑ 3

Surat kepada jemaah di Sardis

1‘Kepada malaikat jemaah di Sardis, tulislah: Inilah kata-kata daripada Dia yang memiliki tujuh Roh Allah dan tujuh bintang. Aku tahu perbuatanmu. Nama sahaja kamu hidup tetapi sebenarnya mati. 2Bangunlah dan teguhkanlah apa yang masih ada padamu dan yang hampir mati kerana Kudapati apa yang kamu lakukan belum lagi sempurna di sisi Allah Tuhanku. 3Ingatlah semula segala yang telah diajarkan kepadamu dan segala yang telah kamu dengar. Patuhilah segalanya dan bertaubatlah. Jika tidak, Aku akan datang kepadamu laksana pencuri. Kamu tidak mungkin tahu saatnya Aku datang.

4Namun, ada sebilangan daripadamu di Sardis yang tidak mencemarkan pakaian mereka. Mereka akan berjalan bersama-Ku dengan berpakaian putih kerana mereka layak mendapat kemuliaan sedemikian. 5Kepada yang menang akan dapat berpakaian putih seperti itu dan Aku tidak akan memadamkan nama mereka dari Kitab Hidup. Aku akan mengakui mereka sebagai milik-Ku di hadirat Bapa-Ku dan di hadapan para malaikat-Nya. 6Sesiapa yang bertelinga, dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah.

Surat kepada jemaah di Filadelfia

7‘Kepada malaikat jemaah di Filadelfia, tulislah: Inilah kata-kata daripada Dia yang suci dan setia dan yang memegang kunci milik Daud. Apabila Dia membuka pintu, tiada siapa yang dapat menutupnya, dan apabila Dia menutupnya, tiada siapa yang dapat membukanya. 8Aku tahu perbuatanmu. Lihatlah Aku telah membukakan sebuah pintu untukmu, dan tiada siapa yang dapat menutupnya. Aku tahu bahawa kamu tidaklah begitu kuat, tetapi kamu taat kepada firman-Ku dan tidak sekali-kali menyangkal nama-Ku. 9Orang yang menyokong Iblis, para pendusta yang bukan Yahudi tetapi mengaku dirinya Yahudi, akan Kubawa kepadamu. Mereka akan Kupaksa datang dan sujud kepadamu dan mereka akan tahu bahawa Aku mengasihimu. 10Oleh sebab kamu taat akan perintah-Ku supaya tabah menanggung kesengsaraan, Aku akan menyelamatkanmu daripada masa pancaroba yang akan menimpa seluruh dunia sebagai dugaan kepada umat manusia.

11Aku akan datang segera. Peliharalah apa yang ada padamu dengan sempurna, supaya ganjaran kemenanganmu tidak diragut orang. 12Aku akan menjadikan mereka yang menang seperti tiang di rumah Allah Tuhanku dan dia akan tetap tinggal di situ. Aku akan menulis pada dirinya nama Allah dan Kota Allah, iaitu Baitulmaqdis baru yang akan diturunkan Allah dari syurga, juga nama-Ku yang baru. 13Jika kamu bertelinga, dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah.

Surat kepada jemaah di Laodikia

14‘Kepada malaikat jemaah di Laodikia, tulislah: Inilah perkhabaran daripada Dia yang disebut Amin, Saksi yang setia dan benar, Permulaan segala ciptaan Allah. 15Aku tahu apa yang kamu lakukan. Aku tahu bahawa kamu ini sejuk tidak, panas pun tidak. Betapa baiknya jika kamu mengambil salah satu daripada dua sikap itu. 16Tetapi oleh sebab kamu suam-suam sahaja, Aku akan meludahkan kamu. 17Kamu berkata, “Aku kaya dan cukup segala-galanya, tiada kekurangan apa-apa.” Tetapi kamu tidak tahu bahawa kamu sebenarnya dalam keadaan yang serba kekurangan dan amat menyedihkan. Kamu miskin, telanjang dan buta.

18Dengan demikian Kunasihati kamu: Belilah emas daripada-Ku, emas tulen, supaya kamu kaya. Belilah pakaian putih untuk menutup tubuhmu yang telanjang lagi mengaibkan. Belilah ubat untuk matamu supaya dapat melihat.

19Aku menegur dan menghukum orang yang Kukasihi. Oleh itu, amalkanlah sikap bersungguhsungguh dan bertaubatlah. 20Dengarlah! Aku berdiri di hadapan pintu sambil mengetuk. Jika seseorang mendengar suara-Ku dan membuka pintu, Aku akan masuk ke rumahnya. Aku akan makan bersamanya dan dia bersama-Ku.

21Aku akan membenarkan mereka yang menang duduk di atas takhta-Ku, seperti Aku yang telah menang kini duduk di sisi Bapa-Ku di atas takhta-Nya. 22Jika kamu bertelinga; dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah.’

↑ ↑ ↑ 4

Takhta di syurga

1Selepas itu, aku melihat sebuah pintu terbuka di syurga. Suara seperti bunyi sangkakala yang pernah kudengar dahulu berkata kepadaku, ‘Marilah naik ke sini. Aku akan memperlihatkan apa yang pasti terjadi kemudian kelak.’ 2Serta-merta Roh menguasaiku. Kulihat sebuah takhta di syurga dan seorang bersemayam di atasnya.

3Dia yang bersemayam itu berwajah gilang-gemilang seperti batu yaspis dan akik. Takhta itu dikelilingi pelangi yang bersinar laksana zamrud. 4Di sekeliling takhta itu kelihatan dua puluh empat buah takhta lain. Di atasnya duduk dua puluh empat tua-tua yang berpakaian putih dan bermahkota emas. 5Dari takhta itu kulihat kilat memancar dan kudengar guruh berbunyi. Di hadapan takhta itu terdapat tujuh pelita yang menyala, iaitu tujuh Roh Allah. 6Di hadapan takhta itu juga kelihatan sesuatu yang seperti lautan kaca, jernih seperti hablur. Di sekeliling takhta itu terdapat empat makhluk, satu di setiap sisi. Bahagian depan dan belakang makhluk itu penuh dengan mata. 7Makhluk yang pertama rupanya seperti singa; yang kedua seperti anak lembu; yang ketiga mukanya seperti muka manusia; dan yang keempat rupanya seperti burung helang sedang terbang. 8Setiap makhluk itu bersayap enam. Di bawah sayapnya pun penuh dengan mata. Siang malam mereka tidak henti-henti menyanyi: ‘Suci, suci, sucilah Allah, Tuhan Yang Maha Kuasa, yang ada dahulu, yang ada sekarang dan yang akan datang.’

9Keempat-empat makhluk itu menyanyikan pelbagai nyanyian yang memuliakan, menyanjung dan menyatakan syukur kepada Dia yang sedang bersemayam di atas takhta, Dia yang hidup selamalamanya.

10Sambil itu, dua puluh empat tua-tua sujud kepada Dia yang bersemayam di atas takhta, menyembah Dia yang hidup selama-lamanya. Mereka mencampakkan mahkota mereka di hadapan takhta itu lalu berkata,

11‘Ya Allah, Ya Tuhan kami! Hanya Engkau yang layak menerima kemuliaan, kehormatan dan kuasa, kerana Engkaulah yang mencipta segala-galanya, dan dengan kehendak-Mu segala-galanya wujud dan dicipta.’

↑ ↑ ↑ 5

Gulungan naskhah dan Anak Domba

1Kemudian aku melihat segulungan naskhah di tangan kanan Dia yang bersemayam di atas takhta itu. Gulungan itu bertulis kedua-dua belah dan dimaterai dengan tujuh materai. 2Setelah itu kulihat dan kudengar malaikat yang gagah perkasa bertanya dengan suara lantang, ‘Siapakah yang layak memecahkan materai dan membuka gulungan naskhah ini?’ 3Namun, tiada seorang pun, baik di syurga, di bumi, mahupun di bawah bumi, yang terdaya membuka gulungan naskhah itu dan melihat kandungannya.

4Oleh itu aku pun menangis teresak-esak kerana tiada seorang pun yang layak membuka dan membaca naskhah atau melihat kandungannya. 5Kemudian salah seorang tua-tua itu berkata kepadaku, ‘Jangan menangis. Lihatlah! Singa daripada suku Yahuda, zuriat keturunan yang mulia daripada Daud, telah menang. Dia dapat membuka gulungan naskhah itu dan memecahkan tujuh materai dan membuka gulungan naskhah itu.’

6Selepas itu kulihat Anak Domba berdiri di tengah-tengah takhta itu, dikelilingi oleh keempatempat makhluk dan para tua-tua. Anak Domba itu, yang kelihatan sudah disembelih, mempunyai tujuh tanduk dan tujuh mata, iaitu tujuh Roh Allah yang telah dihantar ke seluruh dunia. 7Anak Domba itu pergi mengambil gulungan naskhah dari tangan kanan Dia yang bersemayam di atas takhta. 8Empat makhluk dan dua puluh empat orang tua-tua sujud kepada Anak Domba itu. Masingmasing memegang sebuah kecapi dan sebuah batil emas berisi setanggi, iaitu segala doa orang salih.

9Mereka menyanyikan lagu baru: ‘Engkau layak mengambil gulungan naskhah itu dan membuka materainya kerana Engkau telah dibunuh, dan dengan darah kematian-Mu Engkau telah menebus untuk Allah manusia daripada segala suku, bahasa, kaum, negara dan bangsa.

10Engkau telah menjadikan mereka suatu kerajaan dan imam-imam Allah untuk menyembah Allah Tuhan kita dan memerintah di bumi.’

11Aku melihat lagi. Aku mendengar suara ribuan dan jutaan malaikat. Mereka berdiri mengelilingi takhta, empat makhluk dan para tua-tua. 12Mereka menyanyi dengan suara yang lantang: ‘Anak Domba yang telah disembelih layak menerima kekuasaan, kekayaan, kebijaksanaan, kekuatan, kehormatan, kemuliaan dan puji-pujian.’

13Aku mendengar semua makhluk – di syurga, di bumi, di bawah bumi, di dalam laut, dan semua yang ada di dalamnya, menyanyi: ‘Segala puji, kemuliaan dan kuasa kepada Dia yang duduk di atas takhta dan kepada Anak Domba untuk selama-lamanya.’

14Keempat-empat makhluk itu menyahut, ‘Amin!’ Para tua-tua itu pun sujud menyembah Allah dan Anak Domba itu.

↑ ↑ ↑ 6

Materai dibuka

1Seterusnya aku melihat Anak Domba itu memecahkan materai pertama daripada ketujuh-tujuh materai itu. Lantas kudengar salah satu daripada empat makhluk itu berkata dengan suara seperti guruh, ‘Marilah, lihat!’ 2Aku melihat seekor kuda putih ditunggang oleh seorang yang memegang busur panah. Dia diberi sebuah mahkota dan tampil sebagai seorang penakluk yang sedia untuk menakluk. 3Kemudian Anak Domba itu memecahkan materai kedua dan kudengar makhluk kedua berkata, ‘Marilah, lihat!’ 4Seekor kuda merah pula muncul. Penunggangnya diberi kuasa untuk mencetuskan peperangan di bumi dan menyebabkan manusia berbunuh-bunuhan. Dia diberi sebilah pedang yang besar. 5Kemudian Anak Domba itu memecahkan materai ketiga lalu kudengar makhluk ketiga berkata, ‘Marilah, lihat!’ Aku melihat seekor kuda hitam. Penunggangnya memegang dacing. 6Aku mendengar sesuatu seperti suara dari tengah-tengah makhluk berempat itu, berkata, ‘Secupak gandum sedinar harganya, dan tiga cupak barli juga sedinar harganya, tetapi minyak dan air anggur itu jangan kaurosakkan.’

7Kemudian Anak Domba itu memecahkan materai keempat. Kudengar makhluk keempat berkata, ‘Mari!’ 8Aku melihat seekor kuda berwarna pucat. Penunggangnya bernama Maut, dan Alam Maut mengekorinya. Mereka diberi kuasa membunuh seperempat penghuni bumi melalui peperangan, kebuluran, wabak penyakit dan serangan binatang buas.

9Kemudian Anak Domba itu memecahkan materai kelima. Di bawah mazbah aku melihat rohroh orang yang telah dibunuh kerana firman Allah dan kerana kesaksian yang mereka pegang dengan setia. 10Mereka berseru dengan suara lantang, ‘Ya Tuhan yang suci dan benar! Berapa lama lagi sebelum Engkau menghakimi penghuni bumi dan membalas perbuatan mereka yang telah menumpahkan darah dan meragut nyawa kami?’ 11Setiap roh itu diberi sehelai jubah putih dan disuruh berehat sebentar lagi hingga cukup bilangan hamba-hamba sepengabdian dan orang yang menjadi saudara seiman, yang akan dibunuh seperti mereka.

12Kemudian aku melihat Anak Domba itu memecahkan materai keenam. Seketika itu terjadilah gempa bunyi yang dahsyat. Matahari menjadi seperti kain hitam dan bulan merah seperti darah.

13Bintang-bintang gugur ke bumi seperti buah ara luruh ditiup angin kencang. 14Langit lenyap tergulung seperti gulungan naskhah manakala gunung dan pulau teralih dari tempatnya.

15Seluruh umat manusia, baik raja, pegawai, panglima, orang berharta dan berkuasa, orang bebas mahupun hamba abdi, lari bersembunyi di dalam gua dan di celah-celah batu di gunung. 16Mereka berseru kepada gunung dan batu itu, ‘Hempaplah kami! Sembunyikan kami daripada pandangan Dia yang bersemayam di atas takhta dan daripada kemurkaan Anak Domba! 17Hari besar yang dahsyat, hari kemurkaan mereka telah tiba. Allah dan Anak Domba akan menghukum kami. Siapa yang dapat bertahan?’

144,000 dimateraikan

1Selepas itu, kulihat empat malaikat berdiri di empat penjuru bumi dan menahan keempat-empat angin di bumi supaya tidak ada angin yang bertiup di darat, di laut, atau di pohon-pohon. 2Kemudian kulihat malaikat lain datang dari timur membawa materai yang digunakan oleh Allah yang hidup. Dengan suara lantang malaikat itu berseru kepada empat malaikat yang telah diberi kuasa untuk merosakkan darat dan laut. 3Malaikat itu berkata, ‘Janganlah rosakkan darat, laut atau pohon-pohon hingga kami telah mematerai dahi hamba-hamba Allah Tuhan kita.’ 4Lalu aku mendengar bahawa seratus empat puluh empat ribu dari semua suku Israel dimateraikan.

5Dari suku Yahuda dua belas ribu, dari suku Ruben dua belas ribu, dari suku Gad dua belas ribu, 6dari suku Asyer dua belas ribu dari suku Naftali dua belas ribu, dari suku Manasye dua belas ribu,

7dari suku Simeon dua belas ribu, dari suku Lewi dua belas ribu, dari suku Isakhar dua belas ribu, 8dari suku Zabulon dua belas ribu, dari suku Yusuf dua belas ribu, dari suku Benyamin dua belas ribu.

Orang ramai berjubah putih

9Selepas itu aku melihat lagi. Kulihat lautan manusia, tidak terkira banyaknya, dari segala bangsa, suku, kaum, dan bahasa, berjubah putih dan memegang daun palma. Mereka semua berdiri di hadapan takhta dan Anak Domba. 10Mereka berseru dengan lantang, ‘Penyelamatan ada pada Allah Tuhan kami yang bersemayam di atas takhta dan pada Anak Domba!’

11Semua malaikat berdiri mengelilingi takhta, empat makhluk dan para tua-tua, lalu semuanya sujud di hadapan takhta menyembah Allah. 12Mereka berkata, ‘Amin! Segala pujian, kemuliaan, kebijaksanaan, kesyukuran, kehormatan, kuasa dan kebesaran bagi Allah Tuhan kami selama-lamanya! Amin.’

13Salah seorang tua-tua itu bertanya kepadaku, ‘Siapakah yang berjubah putih itu dan dari manakah mereka itu?’ 14‘Aku tidak tahu, tetapi tuan tahu,’ sahutku. Dia berkata, ‘Merekalah orang yang berjaya menempuh kesengsaraan yang dahsyat. Mereka telah membasuh jubah mereka menjadi putih bersih dengan darah Anak Domba. 15Maka sekarang, ‘mereka berdiri di hadapan takhta Allah dan menyembah-Nya siang malam di dalam rumah ibadat-Nya. Dia yang bersemayam di atas takhta akan membentangkan khemah-Nya di atas mereka.

16Mereka tidak akan lapar atau dahaga lagi. Terik matahari atau sesuatu yang amat panas pun tidak akan dapat membakar mereka lagi

17kerana Anak Domba di tengah-tengah takhta itu akan menjadi gembala mereka. Dia akan membimbing mereka ke mata air yang membawa hidup, dan Allah akan menghapuskan setiap titik air mata mereka.’

↑ ↑ ↑ 8

Materai ketujuh

1Apabila Anak Domba memecahkan materai ketujuh, syurga menjadi senyap sunyi kira-kira setengah jam.

2Kemudian aku melihat tujuh malaikat menghadap Allah. Mereka diberi tujuh sangkakala.

3Satu lagi malaikat datang berdiri di hadapan mazbah sambil membawa tempat bara diperbuat daripada emas. Dia diberi banyak setanggi untuk ditambahkan kepada doa semua orang salih dan untuk dipersembahkan di atas mazbah emas di hadapan takhta. 4Doa orang salih bersama asap setanggi yang dibakar itu naik berkepul-kepul dari tangan malaikat yang menghadap Allah.

5Kemudian malaikat itu mengisi tempat bara dengan bara api dari mazbah lalu melontarkannya ke bumi. Dalam sekelip mata kedengaran guruh petir dan kelihatan kilat sabung-menyabung lalu seluruh bumi gempa.

Empat sangkakala yang pertama

6Kemudian tujuh malaikat yang memegang tujuh sangkakala itu bersedia untuk meniupnya.

7Malaikat pertama meniup sangkakalanya. Hujan batu dan api bercampur darah terus dilemparkan ke bumi. Lalu sepertiga bumi, dan sepertiga pohon-pohon serta segala tumbuh-tumbuhan yang hijau hangus dibakar.

8Kemudian malaikat kedua meniup sangkakalanya. Sesuatu yang kelihatan seperti gunung besar yang menyala dicampakkan ke dalam laut. Sepertiga air laut menjadi darah. 9Sepertiga makhluk di laut mati dan sepertiga kapal musnah.

10Kemudian malaikat ketiga meniup sangkakalanya. Sebuah bintang besar yang menyala-nyala seperti suluh gugur menimpa sepertiga sungai dan mata air di bumi. 11(Bintang itu bernama ‘Apsintus’ iaitu ‘Pahit’.) Sepertiga air menjadi pahit dan ramai orang mati kerana meminumnya.

12Kemudian malaikat keempat meniup sangkakalanya. Sepertiga matahari, bulan dan bintang terpukul, sehingga tidak dapat bersinar sepertiga waktu. Matahari tidak memancar sepertiga siang, manakala bulan dan bintang tidak bercahaya sepertiga malam.

13Kemudian aku melihat dan mendengar seekor burung helang yang terbang tinggi berseru nyaring, ‘Sengsara! Sengsara! Sengsaralah sekalian penghuni bumi kerana tiga malaikat lagi yang akan meniup sangkakalanya.’

↑ ↑ ↑ 9

Sangkakala yang kelima

1Kemudian malaikat kelima meniup sangkakalanya. Kulihat sebuah bintang gugur ke bumi. Bintang itu diberi kunci jurang yang tidak terduga dalamnya. 2Bintang itu membuka jurang itu lalu asap keluar seperti dari relau yang amat besar. Matahari dan seluruh angkasa gelap diselubungi asap itu. 3Dari dalam asap itu keluarlah sekawan belalang lantas turun ke bumi. Belalang itu diberi kuasa seperti kala jengking di bumi. 4Belalang itu ditegah merosakkan rumput, pokok atau tumbuhtumbuhan lain; tugasnya menyerang manusia yang tidak mempunyai tanda materai Allah di dahinya.

5Belalang itu tidak dibenarkan membunuh mereka tetapi hanya menyeksa mereka selama lima bulan. Sakitnya diseksa belalang itu samalah seperti disengat kala jengking. 6Pada masa itu manusia yang diseksa itu mencari maut tetapi tidak menemukannya. Mereka ingin mati, namun kematian terlepas daripada mereka.

7Belalang itu kelihatan seperti kuda yang siap sedia untuk berperang. Di kepalanya ada sesuatu seperti mahkota emas dan mukanya mirip muka manusia. 8Rambutnya seperti rambut wanita dan giginya serupa gigi singa. 9Dadanya kelihatan seperti berperisai. Bunyi sayapnya seperti bunyi kereta-kereta kuda mara ke medan perang. 10Ekor dan sengatnya seperti kala jengking. Dengan ekornya yang bersengat, belalang itu mempunyai kuasa untuk menyeksa manusia selama lima bulan. 11Raja kepada belalang itu ialah malaikat yang menjaga jurang yang tidak terduga dalamnya. Namanya Abadon dalam bahasa Ibrani dan Apolion (bermakna ‘Pemusnah’) dalam bahasa Yunani.

12Bencana pertama telah berlalu. Dua bencana lagi akan menyusul.

13Kemudian malaikat keenam meniup sangkakalanya. Aku mendengar suara dari keempat-empat tanduk mazbah emas di hadapan Allah. 14Suara itu berkata kepada malaikat keenam yang memegang sangkakala itu, ‘Lepaskanlah empat malaikat yang terikat di sungai yang besar, iaitu Sungai Efrat itu!’

15Keempat-empat malaikat itu pun dilepaskan. Mereka telah disediakan khas untuk membunuh sepertiga umat manusia pada jam, hari, bulan dan tahun itu. 16Aku diberitahu bahawa pasukan berkuda itu terdiri daripada dua ratus juta askar.

17Dalam penglihatan aku nampak banyak kuda dan penunggangnya. Perisai dada penunggangpenunggang itu merah seperti api, biru seperti nilam dan kuning seperti belerang. Kepala kuda itu seperti kepala singa dan dari mulutnya keluar api, asap dan belerang. 18Api, asap dan belerang dari mulut kuda itu merupakan tiga bencana yang membunuh sepertiga umat manusia. 19Kuasa kuda itu pada mulut dan ekornya. Kuda itu menyeksa manusia dengan ekornya yang seperti ular berkepala.

20Manusia yang tidak terbunuh oleh bencana itu tidak berpaling daripada berhala buatan tangan mereka. Mereka meneruskan amalan menyembah roh-roh iblis dan berhala yang dibuat daripada emas, perak, gangsa, batu dan kayu yang tidak dapat melihat, mendengar atau berjalan. 21Mereka juga tidak berhenti daripada membunuh, menggunakan sihir, melakukan pencabulan dan mencuri.

↑ ↑ ↑ 10

Malaikat dan gulungan naskhah

1Setelah itu aku melihat satu lagi malaikat yang gagah perkasa turun dari syurga, tubuhnya diliputi awan dan kepalanya dilingkari pelangi. Wajahnya bersinar seperti matahari, dan kakinya seperti tiang api. 2Tangannya memegang segulungan naskhah kecil yang terbuka. Kaki kanannya di laut, kaki kirinya di darat. 3Dia berseru dengan suara seperti bunyi sekawan singa mengaum, disahut oleh tujuh guruh dengan gemuruh. 4Sebaik-baik tujuh guruh itu berkata-kata, aku hendak mencatat katakatanya. Tetapi kudengar suara dari syurga berkata kepadaku, ‘Materaikan segala yang dikatakan oleh tujuh guruh itu, jangan dituliskan.’

5Malaikat yang kulihat berdiri antara laut dengan darat itu mengangkat tangannya ke langit. 6Dia bersumpah demi Dia yang hidup selama-lamanya, yang telah mencipta syurga dan segala isinya, bumi dan segala isinya serta laut dan segala isinya, bahawa segalanya tidak harus dilengah-lengahkan lagi. 7Tetapi pada masa malaikat ketujuh hendak meniup sangkakalanya, rahsia Allah akan selesai, sebagaimana firman-Nya kepada hamba-Nya, para nabi.

8Kemudian suara yang kudengar dari syurga itu berkata lagi kepadaku, ‘Pergilah ambil naskhah kecil yang terbuka dari tangan malaikat yang berdiri di antara laut dengan darat itu.’

9Aku pun mendapatkan malaikat itu dan berkata, ‘Berilah aku naskhah kecil itu.’ Katanya kepadaku, ‘Ambil dan makanlah naskhah ini. Perutmu akan terasa pahit tetapi di mulutmu akan terasa semanis madu.’ 10Lantas kuambil naskhah kecil itu dari tangannya lalu kumakan, maka di mulutku terasa semanis madu. Tetapi setelah habis kumakan, perutku terasa pahit. 11Dia berkata kepadaku, ‘Kamu harus bernubuat lagi tentang pelbagai kaum, bangsa, bahasa dan raja.’

↑ ↑ ↑ 11

Dua saksi Allah

1Kemudian aku diberi sebatang tongkat yang kelihatan seperti kayu pengukur. Lalu, seorang berkata, ‘Bangkitlah, ukur rumah ibadat Allah dan mazbah, serta hitunglah orang yang beribadat di situ. 2Tetapi jangan ukur halaman di luar, kerana bahagian itu telah diberikan kepada orang bangsa asing. Mereka akan melanyak kota suci selama empat puluh dua bulan. 3Aku akan memberikan kuasa kepada dua orang saksi-Ku dan mereka akan bernubuat selama seribu dua ratus enam puluh hari dengan memakai kain kabung.’ 4Inilah dua pokok zaitun dan dua kaki pelita yang berdiri di hadapan Tuhan bumi ini. 5Jika sesiapa hendak mencederakan mereka, api akan keluar dari mulut mereka dan menghanguskan musuh mereka itu. Orang yang hendak mencederakan mereka itu mesti dibunuh sedemikian. 6Mereka mempunyai kuasa menutup langit, supaya hujan tidak turun sepanjang masa mereka bernubuat. Mereka berkuasa ke atas air dan dapat menukarkannya menjadi darah. Mereka juga berupaya menimpakan pelbagai wabak penyakit ke atas bumi sekerap yang mereka kehendaki.

7Setelah mereka selesai membuat kesaksian, binatang buas dari dalam jurang itu akan memerangi, menewaskan dan membunuh mereka. 8Mayat mereka akan bergelimpangan di jalan raya kota agung yang dari segi rohani disebut Sodom dan Mesir, iaitu kota tempat Junjungan mereka disalib. 9Orang dari pelbagai kaum, suku, bahasa dan bangsa akan melihat mayat mereka selama tiga hari setengah dan tidak membenarkan mereka dikuburkan. 10Penghuni bumi ini akan bergembira, berpesta dan berkirim-kiriman hadiah, kerana kedua-dua nabi itu telah menyeksa mereka yang tinggal di bumi.

11Selepas tiga hari setengah, roh hayat daripada Allah memasuki mereka lalu mereka bangkit berdiri. Sekalian yang melihatnya amat ketakutan. 12Kedua-dua nabi itu mendengar suara lantang dari langit berkata, ‘Naiklah ke sini.’ Lalu mereka naik ke langit di dalam awan, di hadapan mata musuh mereka. 13Pada ketika itu berlakulah gempa bumi yang dahsyat, memusnahkan sepersepuluh kota itu. Tujuh ribu orang terbunuh dalam gempa itu. Mereka yang masih hidup sungguh takut lalu memuliakan Allah yang berada di syurga.

14Bencana kedua telah berlalu. Ketahuilah, bencana ketiga akan segera menyusul.

15Kemudian malaikat ketujuh meniup sangkakalanya. Suara-suara lantang di syurga berkata, ‘Segala kerajaan di dunia ini telah menjadi kerajaan Tuhan kita dan kerajaan al-Masih-Nya, dan Dia akan memerintah selama-lamanya!’

16Dua puluh empat tua-tua yang mengadap Allah yang bersemayam di atas takhta itu sujud menyembah Allah 17sambil berkata: ‘Kami bersyukur kepada-Mu, Ya Allah Tuhan Maha Kuasa; yang ada sekarang, yang ada dahulu dan yang akan datang. Kerana Engkau telah melaksanakan kuasa-Mu yang besar lalu memerintah.

18Bangsa-bangsa asing marah, maka datanglah kemurkaan-Mu, dan masanya untuk orang mati dihakimi, dan Engkau memberi ganjaran kepada hamba-hamba-Mu, para nabi dan orang salih, serta manusia kecil dan besar yang takut akan Nama-Mu. Dan Engkau membinasakan mereka yang membinasakan bumi.’

19Kemudian rumah ibadat Allah dibuka di syurga, dan kelihatanlah tabut perjanjian-Nya, diiringi kilat, pelbagai suara, guruh, gempa dan hujan batu yang dahsyat.

↑ ↑ ↑ 12

Perempuan dan naga

1Suatu alamat besar kelihatan di langit: Seorang perempuan yang berpakaian matahari, bulan di bawah kakinya dan dua belas bintang terkalung menghiasi kepalanya. 2Dia sedang hamil dan sudah sampai waktunya untuk melahirkan anak, maka dia berteriak kesakitan. 3Lantas suatu alamat muncul di langit: seekor naga merah yang amat besar, berkepala tujuh bertanduk sepuluh, setiap kepalanya bermahkota. 4Naga itu mengheret sepertiga bintang di langit dengan ekornya dan menghumbankannya ke bumi. Ia menunggu di hadapan perempuan yang hendak bersalin untuk menelan anaknya sebaik-baik dia lahir. 5Kemudian perempuan itu melahirkan seorang anak lelaki yang akan memerintah segala bangsa dengan perkasa. Dan anak itu dibawa ke hadirat Allah dan takhta-Nya. 6Perempuan itu lari ke gurun, ke tempat yang memang ditentukan Allah untuknya. Dia dijaga di situ selama seribu dua ratus enam puluh hari.

Naga dikalahkan

7Kemudian perang tercetus di syurga. Mikail dengan malaikat-malaikatnya berperang dengan naga dan malaikat-malaikatnya. 8Naga itu tewas dalam peperangan. Ia dan malaikat-malaikatnya tidak dibenarkan tinggal di syurga lagi. 9Dengan demikian tersingkirlah naga besar itu, ular purba yang bernama Iblis atau Syaitan, yang memperdaya umat manusia. Ia dan semua malaikatnya dibuang ke bumi.

Nyanyian kemenangan

10Kemudian aku mendengar suara lantang berkata di syurga, ‘Sekarang penyelamatan, kekuatan, kerajaan Allah Tuhan kita, dan kuasa al-Masih-Nya telah tiba; kerana penuduh saudara-saudara kita, yang telah menuduh mereka siang malam di hadapan Allah Tuhan kita telah disingkirkan.

11Mereka telah menumpaskannya dengan darah Anak Domba dan dengan kata-kata kesaksian mereka, dan mereka tidak menyayangi nyawa sendiri hingga mati.

12Oleh itu bergembiralah wahai syurga dan kamu semua yang tinggal di dalamnya! Tetapi malanglah penduduk bumi dan laut! Iblis telah turun kepadamu, dalam keadaan sangat berang, kerana ia tahu masanya sudah singkat.’

Naga memburu perempuan

13Apabila naga itu sedar ia telah dibuang ke bumi, ia pun menganiayai perempuan yang melahirkan anak lelaki itu. 14Tetapi perempuan itu diberi sepasang sayap helang besar untuk terbang ke tempatnya di gurun. Di situ dia dijaga selama tiga tahun setengah jauh dari mata naga itu. 15Naga itu menyemburkan air dari mulutnya seperti air bah untuk menghanyutkan perempuan itu. 16Tetapi bumi membantu perempuan itu dengan membuka mulutnya dan menelan air bah yang disemburkan oleh naga itu. 17Naga itu amat marah terhadap perempuan itu lalu pergi memerangi anak-anaknya yang lain, yang taat kepada perintah Allah dan mempunyai kesaksian Isa al-Masih.

↑ ↑ ↑ 13

1Kemudian aku berdiri di atas pasir di tepi laut. Aku melihat seekor binatang keluar dari dalam laut, bertanduk sepuluh berkepala tujuh. Di setiap tanduk terletak mahkota dan di setiap kepala tertulis nama kufur. 2Binatang itu kelihatan seperti harimau bintang tetapi kakinya seperti kaki beruang dan mulutnya seperti mulut singa. Naga itu memberi binatang itu kuasa dan takhtanya serta kekuasaan yang besar. 3Di salah satu kepala binatang itu terdapat seolah-olah pernah luka parah yang membawa maut tetapi telah sembuh. Seluruh penghuni dunia mengagumi dan mengikut binatang itu. 4Mereka menyembah naga yang telah memberikan kekuasaannya kepada binatang itu, dan mereka menyembah binatang itu sambil berkata, ‘Siapakah yang setanding dengan binatang ini? Siapakah yang dapat memeranginya?’

5Binatang itu diberi mulut untuk melafazkan hal-hal besar dan kufur, serta diberi kekuasaan melakukannya selama empat puluh dua bulan. 6Ia pun membuka mulutnya lalu mengkufuri Allah, nama Allah, tempat Allah bersemayam dan semua penghuni syurga.

7Binatang itu dibenarkan memerangi dan menewaskan orang salih, serta diberi kekuasaan ke atas semua suku, kaum, bahasa dan bangsa. 8Binatang itu akan disembah oleh semua di bumi yang sejak dunia dicipta namanya tidak tersenarai di dalam Kitab Hidup milik Anak Domba yang telah disembelih. 9Sesiapa yang bertelinga, dengarlah.

10Orang yang harus ditawan pasti akan ditawan kelak. Orang yang harus dibunuh dengan pedang pasti akan dibunuh dengan pedang juga. Oleh itu orang salih harus tabah dan beriman.

Binatang yang keluar dari dalam bumi

11Kemudian aku melihat seekor lagi binatang buas muncul dari bumi, bertanduk dua seperti anak domba dan bertutur seperti naga. 12Binatang kedua itu menjalankan segala kekuasaan binatang pertama di hadapannya, dan menyuruh bumi serta semua penghuninya menyembah binatang yang telah sembuh daripada luka parah yang membawa maut itu. 13Binatang kedua itu mengadakan beberapa alamat yang hebat, termasuk menurunkan api dari langit ke atas bumi di hadapan umat manusia. 14Dengan alamat-alamat yang dapat diadakannya di hadapan binatang pertama itu, binatang kedua memperdaya sekalian penghuni bumi, dan menyuruh mereka membuat patung binatang yang dilukai pedang tetapi lukanya itu pulih. 15Binatang kedua itu diberi kuasa untuk meniupkan nyawa ke dalam patung binatang pertama itu, supaya patung itu dapat berkata-kata dan menyebabkan semua yang enggan menyembahnya dibunuh. 16Ia memaksa semua manusia, kecil besar, kaya miskin, orang merdeka dan hamba abdi, menerima suatu tanda pada tangan kanannya atau dahinya, 17dan seorang pun tidak dibenarkan berjual beli kecuali ada padanya tanda atau nama binatang buas itu, atau angka namanya.

18Di sini terletak kebijaksanaan. Sesiapa yang mengerti, kirakanlah angka binatang itu, kerana angka itu angka seorang manusia, dan angka itu 666.

↑ ↑ ↑ 14

Anak Domba dan pengikut-Nya

1Kemudian tiba-tiba aku melihat Anak Domba berdiri di puncak Gunung Sion, dan bersamanya seratus empat puluh empat ribu orang dengan nama-Nya dan nama Bapa-Nya tertulis di atas dahi mereka. 2Aku mendengar suara dari syurga, seperti bunyi air menderu, dan seperti bunyi guruh yang kuat, dan suara yang kudengar itu seperti bunyi daripada pemain-pemain memetik kecapi. 3Mereka menyanyikan suatu nyanyian yang terasa baru di hadapan takhta, empat makhluk dan para tua-tua. Tiada siapapun dapat mempelajari nyanyian itu kecuali seratus empat puluh empat ribu orang yang ditebus dari bumi. 4Mereka ini tidak pernah menajiskan diri dengan perempuan kerana mereka menjaga kesucian mereka. Mereka mengikut Anak Domba ke mana-mana Dia pergi. Mereka telah ditebus dari kalangan manusia, sebagai persembahan hasil pertama bagi Allah dan Anak Domba.

5Mulut mereka tiada kata-kata bohong, dan mereka tiada cacat cela.

Tiga malaikat

6Kemudian aku melihat satu lagi malaikat terbang di tengah langit, membawa Injil yang kekal untuk diajarkan kepada penghuni bumi dan kepada setiap bangsa, suku, bahasa dan kaum. 7Katanya dengan suara lantang, ‘Takutilah Allah dan muliakan Dia, kerana sudahlah sampai saat penghakiman-Nya; dan sembahlah Dia yang menjadikan langit dan bumi, laut dan mata air.’

8Satu lagi malaikat mengikutnya, sambil berkata, ‘Babel telah runtuh, telah runtuh, kota yang besar itu telah memberi semua bangsa minum air anggur kemurkaan Allah terhadap pencabulan mereka.’ 9Mereka diikut oleh satu lagi malaikat yang berkata dengan suara lantang, ‘Jika sesiapa menyembah binatang itu dan patungnya, dan menerima tandanya di atas dahi atau tangan, 10dia juga akan minum air anggur kemurkaan Allah, yang dituangkan tanpa ditambah air ke dalam cawan murka-Nya itu. Dia akan dikenakan azab api dan belerang di hadapan para malaikat yang suci dan di hadapan Anak Domba. 11Asap api yang menyeksanya itu akan naik berkepul-kepul selama-lamanya. Mereka tidak akan berehat siang malam, kerana mereka menyembah binatang itu dan patungnya serta menerima tanda namanya.’ 12Di sinilah terletak kesabaran dan keyakinan orang salih yang mengikut perintah Allah serta beriman kepada Isa.

13Aku mendengar suara dari syurga berkata, ‘Tuliskanlah: Dari saat ini diberkatilah semua orang yang mati dalam Tuhan.’ ‘Ya,’ kata Roh, ‘supaya mereka dapat berehat daripada penat lelah, dan hasil usaha mereka menyertai mereka.’

Tuaian di bumi

14Tiba-tiba aku melihat awan putih dan di atasnya duduk seorang yang rupanya seperti putera insan, bermahkota emas dan memegang sabit yang tajam. 15Muncul satu lagi malaikat dari rumah ibadat sambil berseru lantang kepada Dia yang duduk di atas awan, ‘Gunakanlah sabitmu, tuailah, kerana sudah sampai waktunya Engkau menuai; tuaian dunia sudah masak.’ 16Lalu Dia yang duduk di atas awan itu mengayunkan sabit-Nya ke atas bumi, dan bumi pun dituai.

17Kemudian satu lagi malaikat keluar dari rumah ibadat yang di syurga, juga membawa sabit tajam. 18Menyusul pula malaikat lain yang keluar dari mazbah dan menguasai api, sambil berseru nyaring kepada yang memegang sabit tajam, ‘Gunakanlah sabit-Mu yang tajam itu, kumpulkan segala gugusan anggur di bumi, kerana anggurnya sudah cukup masak.’ 19Maka malaikat itu menggunakan sabitnya untuk mengumpulkan gugusan anggur di bumi, dimasukkannya ke dalam irikan besar kemurkaan Allah. 20Irikan itu diinjak di luar kota, lalu darah mengalir keluar, setinggi kekang kuda dan sejauh dua ratus batu.

↑ ↑ ↑ 15

Nyanyian mereka yang menang

1Aku melihat pula di langit suatu alamat lagi, yang besar dan ajaib, iaitu tujuh malaikat membawa tujuh wabak terakhir, maka dengannya selesailah kemurkaan Allah. 2Kulihat seakan-akan laut kaca bercampur api. Mereka yang menang menghadapi dugaan binatang itu, patungnya, tandanya dan angka namanya, berdiri di atas laut kaca itu memegang kecapi Allah. 3Mereka menyanyikan nyanyian Musa, hamba Allah, dan nyanyian Anak Domba: ‘Agung dan ajaib pekerjaan-Mu, Allah Tuhan Maha Kuasa! Benar dan adil setiap jalan-Mu, Ya Raja segala bangsa!

4Siapakah yang tidak takut kepada-Mu, Ya Tuhan, dan memuliakan nama-Mu? Kerana hanya Engkaulah Yang Maha Suci. Semua bangsa akan datang dan sujud menyembah-Mu, kerana penghakiman-Mu telah ternyata.’

5Setelah itu aku melihat pula dan ternampak tempat suci dalam khemah kesaksian di syurga terbuka.

6Dari tempat suci itu keluarlah tujuh malaikat yang membawa tujuh wabak itu, berpakaian suci murni berseri-seri, dada mereka dililiti pending emas. 7Kemudian salah satu daripada empat makhluk itu memberi tujuh malaikat itu tujuh mangkuk emas dipenuhi kemurkaan Allah yang hidup selama-lamanya. 8Rumah ibadat Allah dipenuhi asap daripada kemuliaan dan kuasa-Nya dan tiada siapa dapat memasukinya hingga tujuh wabak yang dibawa oleh tujuh malaikat itu selesai.

↑ ↑ ↑ 16

Tujuh mangkuk kemurkaan Allah

1Kemudian aku mendengar suara lantang dari dalam rumah ibadat Allah, berkata kepada tujuh malaikat itu, ‘Pergi tuangkan kemurkaan Allah di dalam mangkuk itu ke bumi.’

2Oleh itu malaikat pertama pergi, mencurahkan isi mangkuknya ke tanah, lalu tumbuh pekung yang busuk dan menjijikkan pada orang yang mempunyai tanda binatang itu dan orang yang menyembah patungnya.

3Kemudian malaikat kedua mencurahkan isi mangkuknya ke laut lalu menjadi darah seperti darah orang mati, maka setiap makhluk di laut itu mati.

4Kemudian malaikat ketiga mencurahkan isi mangkuknya ke sungai dan mata air, lalu bertukar airnya menjadi darah. 5Aku mendengar malaikat perairan itu berkata: ‘Engkau adil, Ya Tuhan, kerana Engkau telah menghakimi hal-hal ini, Engkau yang suci, yang ada sekarang, dan ada dahulu, dan yang akan datang,

6Mereka telah menumpahkan darah orang salih dan nabi-nabi, maka Engkau memberi mereka minum darah, suatu hukuman yang setimpal.’

7Aku mendengar suatu suara lagi dari mazbah berkata, ‘Sememangnya, Allah Tuhan Maha Kuasa, penghakiman-Mu benar dan adil.’

8Kemudian malaikat keempat mencurahkan isi mangkuknya ke atas matahari, dan dia diberi kuasa menghanguskan manusia dengan api. 9Manusia dihanguskan dengan darjah kepanasan yang amat tinggi, lalu mereka mengkufuri nama Allah yang menguasai wabak-wabak itu. Mereka tidak bertaubat dan tidak memuliakan-Nya.

10Kemudian malaikat kelima mencurahkan isi mangkuknya ke atas takhta binatang itu, lalu kerajaannya diselaputi kegelapan, dan mereka menggigit lidah kerana kesakitan. 11Mereka mengkufuri Allah yang memerintah syurga kerana kesakitan dan pekung di tubuh mereka. Mereka tidak bertaubat daripada perbuatan mereka.

12Kemudian malaikat keenam mencurahkan isi mangkuknya ke dalam sebatang sungai besar, iaitu Efrat, lantas airnya kering kontang, untuk menyediakan jalan bagi raja-raja dari Timur. 13Aku melihat tiga roh durjana seperti rupa katak keluar dari mulut naga itu, dari mulut binatang itu, dan dari mulut nabi palsu. 14Mereka itu roh-roh iblis, dan mereka melakukan pelbagai alamat, yang sampai kepada raja-raja di seluruh dunia untuk menghimpunkan mereka bagi peperangan pada hari Allah Yang Maha Kuasa.

15Lihatlah, aku datang seperti pencuri tidak disedari. Diberkatilah orang yang berwaspada, dan menjaga pakaiannya, supaya dia tidak berjalan dan dilihat orang dalam keadaan telanjang lalu mendapat malu.

16Dia menghimpunkan raja-raja itu ke tempat yang disebut Harmagedon dalam bahasa Ibrani.

17Kemudian malaikat yang ketujuh mencurahkan isi mangkuknya ke udara, lalu kedengaran suara lantang dari rumah ibadat Allah di syurga, dari takhta, berkata, ‘Telah selesai!’ 18Kedengaran pelbagai bunyi serta guruh dan kilat sabung-menyabung. Juga berlaku gempa bumi yang paling dahsyat dalam sejarah manusia zaman-berzaman. 19Ketika itu kota besar itu terbelah tiga, dan kota bangsa asing habis runtuh. Babel yang agung juga tidak ketinggalan menerima mangkuk air anggur kemurkaan Allah. 20Kemudian setiap pulau lenyap dan gunung tidak ditemui lagi. 21Hujan batu besar yang seratus paun beratnya turun dari langit menimpa manusia. Mereka mengkufuri Allah kerana bencana hujan batu yang dahsyat itu.

↑ ↑ ↑ 17

Penghakiman atas Babel

1Kemudian salah satu daripada tujuh malaikat yang membawa tujuh mangkuk emas itu datang kepadaku dan berkata, ‘Mari, kutunjukkan hukuman ke atas pelacur besar yang duduk di atas air yang banyak, 2dan yang berzina dengan raja-raja dunia; penghuni bumi mabuk dengan air anggur pencabulannya.’

3Malaikat itu membawaku dalam Roh ke gurun. Aku melihat seorang wanita duduk di atas seekor binatang buas yang berwarna merah dan penuh dengan nama-nama kufur. Binatang itu berkepala tujuh dan bertanduk sepuluh. 4Perempuan itu berpakaian ungu dan merah, dihiasi emas permata serta mutiara, tangannya memegang cawan emas yang penuh dengan kelucahan dan kecemaran perzinaannya. 5Di atas dahinya tertulis: ‘RAHSIA, BABEL YANG AGUNG, IBU SEGALA PELACUR DAN KELUCAHAN DI BUMI.’

6Aku melihat perempuan itu, mabuk dengan darah orang salih dan darah saksi Isa. Apabila aku melihat perempuan itu, aku hairan tercengang. 7Tetapi malaikat itu berkata kepadaku, ‘Mengapa kamu hairan tercengang? Aku akan menceritakan rahsia di sebalik perempuan itu dan binatang yang ditunggangnya, yang berkepala tujuh dan bertanduk lapan. 8Binatang yang kamu lihat itu pernah wujud tetapi tidak wujud lagi dan akan keluar dari jurang yang tidak terduga dalamnya lalu menuju kebinasaan. Penghuni bumi yang tidak tersenarai namanya di Kitab Hidup dari permulaan dunia akan tercengang melihat binatang yang pernah wujud dan sekarang tidak wujud lagi tetapi kemudian akan muncul lagi.

9‘Inilah fikiran yang mempunyai kebijaksanaan. Tujuh kepala itu adalah tujuh gunung tempat perempuan itu tinggal. 10Juga ada tujuh orang raja. Lima orang telah runtuh kerajaannya, satu masih bertakhta dan seorang lagi belum muncul. Datangnya nanti hanya untuk seketika. 11Binatang yang pernah wujud dan yang tidak wujud lagi itu adalah raja yang kelapan, dan asalnya daripada yang ketujuh. Ia juga akan menuju kebinasaan.

12‘Sepuluh tanduk yang kamu lihat itu bererti sepuluh orang raja yang belum mendapat kerajaan lagi, tetapi mereka menerima kekuasaan sebagai raja bersama dengan binatang itu selama sejam.

13Mereka sepakat dan akan menyerahkan kuasa dan kekuasaan mereka kepada binatang itu.

14Mereka akan memerangi Anak Domba, dan Anak Domba akan menumpaskan mereka, kerana Dialah Junjungan segala junjungan dan Raja segala raja. Orang yang dipanggil, dipilih serta setia ada bersama Dia.’ 15Malaikat itu berkata kepadaku, ‘Air yang kamu lihat di tempat pelacur itu duduk adalah kaum, orang ramai, bangsa dan bahasa. 16Binatang dan sepuluh tanduknya yang kamu lihat itu akan membenci pelacur itu, dan membuatnya terlantar serta telanjang, lalu memakan dagingnya dan membakarnya dengan api. 17Allah telah menggerakkan hati mereka, untuk menunaikan kehendak-Nya, supaya sepakat dan menyerahkan kerajaan mereka kepada binatang itu hingga berlaku segala firman Allah. 18Perempuan yang kamu lihat itu adalah kota agung yang menguasai semua raja di bumi ini.’

↑ ↑ ↑ 18

Kejatuhan Babel

1Selepas segala ini, aku melihat satu lagi malaikat turun dari syurga, dengan kekuasaan besar, dan bumi diterangi oleh kemuliaannya. 2Dia berseru dengan suara yang lantang dan hebat, ‘Babel yang agung telah runtuh, telah runtuh, dan telah menjadi tempat kediaman roh-roh durjana, penjara bagi setiap roh durjana, sangkar bagi setiap burung yang jijik dan dibenci! 3Semua bangsa telah minum air anggur hawa nafsunya yang cabul. Raja-raja dunia telah berzina dengannya, dan saudagar-saudagar dunia telah menjadi kaya-raya dari kemewahannya yang melimpah-limpah.’

4Aku mendengar satu suara lagi dari syurga berkata, ‘Keluarlah daripadanya, hai kaumku, supaya kamu tidak bersubahat dengan dosanya dan tidak ditimpa wabaknya.

5Segala dosanya telah sampai ke syurga dan Allah ingat akan kejahatannya.

6Perlakukan dia sebagaimana dia telah memperlakukanmu, dan balas perbuatannya dua kali ganda. Dalam cawan yang telah dibancuhnya, bancuh dua kali ganda.

7Sebagaimana dia telah memuliakan dirinya dan hidup mewah, sebanyak itulah diberikan dia kesengsaraan dan kesedihan; kerana dalam hatinya dia berkata, “Aku bersemayam sebagai ratu, aku bukan balu, dan tidak akan mengalami kesedihan.”

8Oleh itu pelbagai bencana akan menimpanya dalam satu hari sahaja, kematian dan ratapan serta kebuluran. Dia akan hangus dibakar dengan api, kerana Allah Tuhan yang menghakiminya amat perkasa.

9‘Raja-raja dunia yang berzina dan hidup mewah dengannya akan menangis dan meratapinya apabila mereka melihat asap api yang membakarnya. 10Sambil berdiri jauh kerana takut akan kesengsaraannya, mereka berkata, ‘ “Aduhai, sengsaranya, kota Babel yang agung! Dalam sejam sahaja hukuman telah menimpamu.”

11‘Saudagar-saudagar dunia akan menangis dan meratapinya, kerana tiada siapa membeli dagangan mereka lagi – 12dagangan emas, perak, permata dan mutiara, kain khasah, kain ungu, kain sutera dan kain kesumba, setiap jenis kayu yang harum baunya, segala bekas daripada gading, kayu indah, tembaga, besi dan batu marmar, 13juga kayu manis, rempah-ratus, setanggi, minyak wangi, dupa, air anggur, minyak zaitun, tepung halus, gandum, dan lembu, domba, kuda, kenderaan abdi, serta manusia. 14‘Mereka akan berkata, “Buah-buahan yang diidami oleh hati jiwamu telah lenyap dari matamu, dan segala benda yang mewah serta hebat telah terlepas dari tanganmu, dan kamu tidak akan mendapatkannya lagi.” 15Saudagar-saudagar yang menjual segala dagangan itu, yang telah menjadi kaya-raya kerananya, akan berdiri jauh kerana takut akan kesengsaraannya, sambil menangis dan meratap. 16Mereka akan berkata, ‘ “Aduhai, sengsaranya, kota yang agung itu, yang memakai kain khasah, kain ungu dan kain kesumba, serta dihiasi emas permata dan mutiara!

17Dalam sejam sahaja segala kemewahan itu lenyap sama sekali.” ‘Setiap nakhoda, pelayar, kelasi dan saudagar di laut, berdiri jauh. 18Mereka menangis melihat asap api yang membakarnya, sambil berkata, “Kota manakah yang setanding dengan kota agung ini?” 19Mereka meletakkan debu ke atas kepala mereka sambil berseru dengan ratap tangisnya, ‘ “Aduhai, sengsaranya, kota yang agung itu, yang kekayaannya telah memperkaya setiap penduduknya yang memiliki kapal di laut! Dalam sejam sahaja ia telah kehilangan segala-galanya.

20Bergembiralah melihat keadaannya, wahai syurga dan sekalian orang salih, para rasul serta nabi yang suci, kerana Allah telah menghukumnya kerana perbuatannya terhadapmu!” ’

21Kemudian malaikat yang gagah perkasa mengangkat batu yang besarnya seperti batu kisar rupanya lalu melontarkannya ke dalam laut sambil berkata, ‘Demikianlah, dengan dahsyatnya, kota Babel yang agung akan dilenyapkan, dan tidak akan ditemui lagi.

22Bunyi orang bermain kecapi, suling, serunai dan pelbagai alat muzik tidak akan kedengaran lagi di dalammu. Ahli-ahli seni pertukangan tidak akan terdapat lagi di dalammu. Bunyi batu kisar tidak akan didengar lagi di dalammu. 23Cahaya lampu tidak akan bersinar lagi di dalammu. Suara pasangan pengantin tidak akan kedengaran lagi di dalammu. Saudagar-saudagarmu dahulu orang besar-besar di dunia, kerana dengan kuasa sihirmu semua bangsa telah terpedaya.

24Di dalamnya telah didapati darah para nabi dan orang salih, serta semua yang telah dibunuh di bumi ini.’

↑ ↑ ↑ 19

Nyanyian segala puji bagi Allah

1Setelah itu aku mendengar suara orang yang amat banyak di syurga berseru lantang, ‘Segala puji bagi Allah! Penyelamatan dan kemuliaan dan kuasa bagi Allah Tuhan kita!

2Kerana segala penghakiman-Nya benar dan adil, kerana Dia telah menghakimi pelacur besar yang telah mencemarkan dunia dengan perzinaannya; dan Dia telah menghukumnya kerana menumpahkan darah hamba-hamba-Nya!’

3Mereka berkata lagi, ‘Segala puji bagi Allah! Asap api yang membakarnya naik menjulang selama-lamanya!’

4Dua puluh empat orang tua-tua dan empat makhluk itu pun sujud menyembah Allah yang bersemayam di atas takhta sambil berkata, ‘Amin! Segala puji bagi Allah!’

5Kemudian kedengaran suara dari takhta berkata, ‘Pujilah Allah Tuhan kita, hai kamu sekalian hamba-Nya dan orang yang takut akan Dia, baik yang kecil mahupun yang besar!’

6Kemudian aku mendengar bunyi seperti suara orang yang sangat banyaknya, seperti deru air dan bunyi guruh yang amat hebat, berkata, ‘Segala puji bagi Allah!

Kerana Allah Tuhan Yang Maha Kuasa sedang bertakhta!

7Bergembira dan bersukacitalah serta muliakan Dia, kerana saat perkahwinan Anak Domba telah tiba, dan isteri-Nya sudah menyediakan dirinya.

8Isterinya diberi kain khasah yang halus, suci berseri-seri untuk dipakai.’ (Kain khasah yang halus melambangkan segala perbuatan benar yang dilakukan oleh orang salih.)

9Kemudian dia berkata kepadaku, ‘Tulislah: Berbahagialah mereka yang dijemput ke jamuan kahwin Anak Domba!’ Katanya lagi kepadaku, ‘Inilah firman Allah yang benar.’

10Aku sujud di kakinya untuk menyembahnya, tetapi dia berkata, ‘Jangan buat begitu! Aku hamba Allah sepertimu, dan seperti saudara-saudaramu yang memiliki kesaksian Isa. Sembahlah Allah! Kesaksian Isa itu roh nubuat.’

Kedatangan al-Masih

11Kemudian aku melihat syurga terbuka, dan kelihatan seekor kuda putih. Dia yang menunggangnya dipanggil Setia dan Benar, dan dengan keadilan Dia menghakimi serta memerangi. 12Mata-Nya seperti nyala api, dan di atas kepala-Nya terletak mahkota yang banyak. Ada satu nama tertulis padanya, yang tidak diketahui oleh sesiapapun selain Dia. 13Dia memakai jubah berpercikan darah dan nama-Nya Firman Allah. 14Segala tentera syurga, berpakaian kain khasah halus yang putih bersih, menunggang kuda putih mengiringi-Nya. 15Sekarang dari mulut-Nya keluar pedang yang tajam untuk diparangkan kepada segala bangsa. Dia sendiri akan memerintah mereka dengan tongkat besi. Dia sendiri menginjak irikan kemurkaan Allah Maha Kuasa. 16Pada jubah dan paha-Nya tertulis nama: ‘RAJA SEGALA RAJA, JUNJUNGAN SEGALA JUNJUNGAN’.

17Kemudian aku melihat malaikat berdiri di matahari, berseru lantang kepada burung-burung yang terbang di udara, ‘Marilah berhimpun untuk makan malam Allah Yang Maha Besar! 18Kamu akan makan daging raja, panglima, orang berkuasa, kuda dan penunggangnya, dan semua orang, baik hamba mahupun merdeka, baik kecil mahupun besar.’

19Aku melihat binatang itu, raja-raja dunia dan tentera mereka berhimpun untuk memerangi Dia yang berkuda itu serta tentera-Nya. 20Kemudian binatang itu ditawan, dan bersamanya nabi palsu yang mengadakan pelbagai alamat di hadapannya dan dengan demikian memperdaya orang yang telah menerima tanda binatang itu serta orang yang menyembah patungnya. Kedua-duanya dihumbankan hidup-hidup ke dalam lautan api yang menyala dengan belerangnya. 21Yang lain dibunuh dengan pedang yang keluar daripada Dia yang berkuda. Burung-burung kenyang makan daging mereka.

↑ ↑ ↑ 20

Kerajaan seribu tahun

1Kemudian aku melihat malaikat turun dari syurga, tangannya memegang kunci jurang serta rantai yang besar. 2Dia menangkap naga, ular purba itu, iaitu Iblis atau Syaitan, lalu mengikatnya selama seribu tahun. 3Dia menghumbankannya ke dalam jurang itu, dan menutupnya serta memateraikannya, supaya ia tidak dapat lagi memperdaya umat manusia hingga tamat tempoh seribu tahun. Selepas itu ia akan dilepaskan seketika.

4Aku melihat beberapa takhta, lantas orang duduk di atasnya dan diberi kuasa sebagai hakim. Aku melihat roh-roh orang yang telah dipancung kepala kerana memberikan kesaksian tentang Isa al-Masih dan firman Allah, yang tidak menyembah binatang itu atau patungnya, dan tidak menerima tandanya di dahi atau di tangan. Mereka itu hidup dan memerintah bersama al-Masih selama seribu tahun. 5Tetapi orang mati yang lain tidak hidup semula hingga genap masa seribu tahun itu. Inilah kebangkitan yang pertama. 6Diberkatilah dan sucilah mereka yang dapat menyertai kebangkitan pertama. Kematian kedua tiada kuasa atas mereka. Mereka akan menjadi imam Allah dan al-Masih, dan akan memerintah di sisi-Nya selama seribu tahun.

Iblis ditewaskan

7Setelah tamat tempoh seribu tahun itu, Iblis akan dibebaskan dari kurungan. 8Dia akan keluar untuk menipu bangsa-bangsa di empat penjuru bumi, Gog dan Magog, dan mengumpulkan mereka untuk berperang. Bilangan mereka seperti pasir di tepi laut. 9Mereka naik ke seluruh bumi dan mengepung khemah orang salih serta kota yang dikasihi itu. Lalu Allah menurunkan api dari syurga serta menghanguskan mereka. 10Iblis yang telah memperdaya mereka itu terus dihumbankan ke dalam lautan api dan belerang, tempat binatang dan nabi palsu telah dicampakkan. Mereka akan diseksa siang malam selama-lamanya.

Orang mati dihakimi

11Kemudian aku melihat sebuah takhta yang besar berwarna putih dan Dia yang bersemayam di atasnya. Bumi dan langit lenyap menghilang dari hadirat-Nya dan tiada lagi tempat bagi keduaduanya.

12Aku melihat orang mati, kecil dan besar, berdiri di hadapan Allah, dan kitab-kitab dibuka. Sebuah kitab lagi dibuka, iaitu Kitab Hidup. Orang mati itu dihakimi menurut perbuatan mereka, berdasarkan segala yang tersurat di dalam kitab-kitab itu. 13Laut menyerahkan orang mati yang di dalamnya; Maut dan Alam Maut menyerahkan orang mati yang di dalamnya. Semuanya dihakimi, menurut perbuatan masing-masing. 14Kemudian Maut dan Alam Maut dihumbankan ke dalam lautan api. Inilah kematian kedua iaitu kematian di lautan api. 15Semua manusia yang tidak tertulis namanya di dalam Kitab Hidup dicampakkan ke dalam lautan api.

↑ ↑ ↑ 21

Langit baru dan bumi baru

1Aku melihat langit baru dan bumi baru, kerana langit dan bumi yang lama telah lenyap, dan laut pun tiada lagi. 2Kemudian aku, Yahya, melihat kota suci, Baitulmaqdis Baru, diturunkan Allah dari syurga, seperti pengantin yang terhias untuk suaminya. 3Aku mendengar suara lantang dari syurga berkata, ‘Lihatlah, tempat kediaman Allah sekarang berserta manusia, dan Dia akan tinggal bersama mereka, dan mereka akan menjadi umat-Nya, dan Allah Sendiri akan bersama mereka sebagai Allah Tuhan mereka. 4Allah akan menghapuskan setiap titik air mata mereka. Tiadalah lagi kematian, kesedihan dan tangisan. Tiada lagi kesakitan, kerana segala yang lama telah lenyap.

5Kemudian Dia yang bersemayam di atas takhta berkata, ‘Lihatlah, Aku telah mencipta segalanya baru.’ Dia berfirman kepadaku, ‘Tuliskanlah, kerana kata-kata ini benar dan tepat.’

6Firman-Nya lagi, ‘Segalanya telah selesai! Akulah Alif dan Ya, Yang Pertama dan Yang Terakhir. Aku akan memberikan mata air hidup kepada sesiapa yang dahaga. 7Sesiapa yang menang akan mewarisi segala-galanya. Aku Allah Tuhannya dan dia anak-Ku. 8Tetapi mereka yang pengecut, tidak beriman, durjana, pembunuh, melakukan pencabulan, ahli sihir, penyembah berhala dan semua pendusta akan dimasukkan ke dalam lautan yang menyala dengan api dan belerang. Inilah kematian kedua. 9Kemudian salah satu daripada tujuh malaikat yang membawa tujuh mangkuk berisi tujuh wabak datang kepadaku dan berkata, ‘Marilah, aku akan menunjukkan kepadamu pengantin, isteri Anak Domba.’

Baitulmaqdis yang baru

10Dia membawaku dalam Roh ke sebuah gunung yang besar dan tinggi, lalu menunjukkan kepadaku kota yang agung, Baitulmaqdis Yang Suci, diturunkan Allah dari syurga, 11dipenuhi kemuliaan Allah. Cahayanya seperti batu yang amat berharga, batu yaspis, jernih seperti hablur.

12Kota itu besar dan tinggi, dan berpintu dua belas, maka pada kedua-dua belas pintu itu ada dua belas malaikat. Di pintu itu tersurat nama kedua-dua belas suku Israel. 13Di timur ada tiga pintu, di utara tiga pintu, di selatan tiga pintu, dan di barat tiga pintu. 14Tembok kota itu beralas dua belas, dan di atasnya ada dua belas nama, iaitu nama dua belas rasul Anak Domba.

15Malaikat yang bertutur denganku itu memegang batang pengukur emas, untuk mengukur kota itu termasuk pintu dan temboknya. 16Kota itu empat persegi, panjangnya sama dengan lebarnya. Dia mengukur kota itu dengan batang pengukur, seribu empat ratus batu; panjang, lebar dan tingginya sama. 17Temboknya seratus empat puluh empat hasta, menurut ukuran manusia, juga ukuran malaikat. 18Tembok itu diperbuat daripada batu yaspis. Kota itu daripada emas tulen, seperti kaca yang jernih. 19Segala alas tembok kota itu dihiasi dengan pelbagai permata. Alas yang pertama yaspis, yang kedua batu nilam, yang ketiga batu akik putih, yang keempat zamrud, 20yang kelima batu unam, yang keenam akik merah, yang ketujuh ratna cempaka, yang kelapan firuz, yang kesembilan yakut kuning, yang kesepuluh akik hijau, yang kesebelas nilam, dan yang kedua belas batu kecubung.

21Dua belas pintu itu diperbuat daripada dua belas mutiara, iaitu setiap pintu itu sebutir mutiara yang sangat besar. Jalan di kota itu diperbuat daripada emas tulen, seperti kaca yang bening.

22Aku tidak melihat rumah ibadat di dalamnya, kerana Allah, Tuhan Yang Maha Kuasa dan Anak Domba ialah rumah ibadatnya. 23Kota itu tidak memerlukan sinaran matahari dan bulan, kerana kemuliaan Allah meneranginya dan Anak Domba itu pelitanya. 24Semua bangsa berjalan dalam cahayanya, dan raja-raja di bumi membawa kemuliaan mereka ke dalamnya. 25Pintu gerbangnya tidak pernah ditutup pada siang hari kerana malam tiada lagi. 26Kemuliaan dan kehormatan segala bangsa akan dibawa ke dalamnya. 27Tiada sekali-kali masuk ke dalamnya sesuatu yang najis atau sesiapa yang melakukan perbuatan keji atau berdusta. Manusia yang masuk ke dalamnya hanyalah yang tersurat namanya di dalam Kitab Hidup Anak Domba.

↑ ↑ ↑ 22

Sungai air hidup

1Dia menunjukkan kepadaku sebatang sungai air hidup, jernih seperti hablur, mengalir dari takhta

Allah dan Anak Domba

2di tengah-tengah kota itu. Di kiri kanan sungai itu terdapat pohon hidup, yang berbuah dua belas jenis setiap bulan; daun-daunnya menyembuhkan umat manusia. 3Segala yang terlaknat tiada lagi. Takhta Allah dan Anak Domba ada di dalam kota itu, dan hamba-hamba-Nya berbuat ibadat kepada-Nya. 4Mereka melihat wajah-Nya, dan nama-Nya tersurat pada dahi mereka.

5Malam tiada lagi, dan cahaya pelita serta cahaya matahari tidak diperlukan lagi. Kerana Allah Tuhan akan menerangi mereka dan sekaliannya bertakhta selama-lamanya.

6Katanya kepadaku, ‘Ini kata-kata yang dapat dipercayai dan benar. Allah, Tuhan segala roh nabinabi, telah menyuruh malaikat-malaikat-Nya menunjukkan dengan segera kepada hamba-hamba-Nya apa yang akan terjadi.’

7‘Ingatlah, Aku akan datang dengan segera. Diberkatilah orang yang memeliharakan segala nubuat di dalam kitab ini.’

8Aku, Yahya, telah mendengar dan melihat segala hal itu. Apabila aku mendengar dan melihatnya, aku sujud hendak menyembah malaikat yang menunjukkannya kepadaku. 9Tetapi dia berkata kepadaku, ‘Jangan buat begitu! Aku ini sesama hamba Allah sepertimu dan saudara-saudaramu, iaitu nabi-nabi dan sekalian yang memeliharakan kata-kata di dalam kitab ini. Hanya Allah yang harus kamu sembah.’

Berita yang terakhir

10Katanya lagi kepadaku, ‘Janganlah kamu materaikan nubuat di dalam kitab ini, kerana masanya sudah hampir tiba. 11‘Orang yang berbuat jahat, biarlah dia terus berbuat jahat. Orang yang cemar, biarlah dia terus cemar. Orang yang benar, biarlah dia terus benar. Orang yang suci, biarlah dia terus suci.’ 12‘Ingatlah, aku akan datang dengan segera, dan ganjaran-Ku bersama-Ku, supaya setiap orang mendapat balasan setimpal dengan perbuatannya. 13Akulah Alif dan Ya, Yang Pertama dan Yang Terakhir. 14‘Diberkatilah sekalian yang menyucikan pakaiannya, kerana mereka akan dapat menghampiri pohon hidup dan masuk ke dalam kota itu melalui pintu gerbangnya. 15Di luar terdapat anjing, ahli sihir, orang yang cabul, pembunuh, penyembah berhala, dan semua yang menyukai dusta serta menuturkannya.

16‘Aku, Isa, telah menyuruh malaikat-Ku memperlihatkan segala hal ini kepadamu untuk semua jemaah. Akulah zuriat dan keturunan Daud, dan bintang fajar yang bersinar.’

17Roh dan pengantin perempuan itu berkata, ‘Marilah’. Orang yang mendengar haruslah berkata, ‘Marilah.’ Orang yang dahaga haruslah datang. Sesiapa yang suka boleh mengambil air hidup itu dengan percuma.

18Aku bersaksi kepada setiap orang yang mendengar nubuat di dalam kitab ini, bahawa jika sesiapa menambahkan apa-apa kepadanya, Allah akan menambahkan baginya segala wabak yang tersurat di dalam kitab ini. 19Dan jika sesiapa menggugurkan sepatah kata pun daripada nubuat ini, Allah akan menggugurkan bahagiannya daripada pohon hidup dan kota suci seperti yang tersurat di dalam kitab ini. 20Yang bersaksi atas segala perkara ini berfirman, ‘Ya, Aku akan datang segera.’ Sesungguhnya, marilah Engkau, Ya Junjungan Isa. 21Semoga kasih kurnia Junjungan Isa menyertai sekalian orang salih. Amin.

↑ ↑ ↑