Kitab Suci Zabur dan Injil/1 Timotius

diterjemahkan oleh tim Pengamat Kitab Mulia (2013); CC-BY-ND 4.0

Pasal 1 2 3 4 5 6


1

1Surat ini daripada Paulus, rasul Isa al-Masih, dengan perintah Allah Penyelamat kita dan Isa al-Masih, harapan kita,

2Kepada Timotius, anak sejatiku dalam iman: Semoga Allah Bapa dan Isa al-Masih Junjungan kita menganugerahimu kasih kurnia, belas kasihan dan kesejahteraan.

Peringatan terhadap guru sesat

3Sebagaimana telah kutegaskan kepadamu ketika aku bertolak ke Makedonia, supaya kamu tinggal di Efesus untuk memerintahkan beberapa orang berhenti daripada menyebarkan ajaran sesat, 4mendengar cerita dongeng dan salasilah yang panjang. Semua itu hanya menimbulkan pertengkaran dan tidak membawa ke jalan Allah yang berasaskan iman. 5Tujuan perintah ini ialah kasih yang datang daripada hati yang suci, hati nurani yang bersih dan iman yang ikhlas. 6Sesetengah mereka telah menyimpang daripadanya dan berpaling kepada perbincangan yang sia-sia. 7Mereka hendak menjadi guru Hukum, tetapi mereka tidak memahami apa yang mereka katakan dan hal-hal yang mereka tegaskan dengan begitu yakin.

8Tetapi kita tahu bahawa hukum adalah baik jika digunakan dengan betul. 9Kita tahu bahawa hukum diadakan bukan untuk orang yang benar, tetapi untuk orang yang hidup berleluasa dan ingkar, untuk orang yang tidak taat akan Allah dan yang berbuat dosa, untuk orang yang tidak salih dan yang mengutamakan dunia, untuk pembunuh ibu bapa sendiri, serta untuk semua pembunuh. 10Selain itu juga untuk penzina, untuk peliwat, untuk penculik, untuk pendusta, untuk saksi palsu, dan untuk orang yang melakukan apa sahaja yang bertentangan dengan ajaran benar yang 11berasaskan Injil mulia Allah Yang Terpuji. Injil inilah yang diamanahkan kepadaku untuk disampaikan.

Kasih kurnia Allah terhadap Paulus

12Aku bersyukur kepada Isa al-Masih, Junjungan kita, yang telah menguatkanku, kerana Dia menganggapku setia, lalu memberiku tugas itu, 13walaupun dahulu aku seorang yang kufur, menganiaya dan ganas. Namun, aku dikasihani-Nya kerana aku telah melakukan semuanya itu ketika aku jahil dan tidak beriman. 14Tuhan kita melimpahkan kasih kurnia-Nya kepadaku, dengan iman dan kasih dalam Isa al-Masih. 15Pernyataan ini benar dan harus diterima sepenuhnya: Isa al-Masih datang ke dunia untuk menyelamatkan orang yang berdosa – akulah orang yang paling berdosa. 16Namun demikian, justeru itulah aku dikasihani, supaya Isa al-Masih dapat menunjukkan kesabaran-Nya yang tidak terhingga, sebagai contoh kepada orang yang akan beriman kepada-Nya untuk hidup kekal. 17Penghormatan dan kemuliaan selama-lamanya kepada Raja yang kekal, yang baqa, yang tidak dapat dilihat, Allah Yang Maha Esa. Amin.

18Perintah ini kuamanahkan kepadamu, anakku Timotius, menurut apa yang telah dinubuatkan tentangmu, supaya dengan mematuhinya, kamu akan perjuangkan perjuangan mulia ini, 19sambil berpegang kepada iman dan hati nurani yang bersih. Ada yang membelakanginya lalu memusnahkan iman mereka. 20Antaranya ialah Himeneus dan Iskandar, yang kuserahkan kepada Iblis supaya mereka insaf daripada mengkufuri Allah.

↑ ↑ ↑ 2

Doa jemaah

1Pertama-tama aku menyeru supaya permohonan, doa, syafaat dan kesyukuran dirafakkan untuk semua manusia – 2untuk raja-raja dan semua yang memegang kuasa, supaya kita hidup aman tenteram, salih dan penuh hormat. 3Inilah yang baik dan diredai oleh Allah Penyelamat kita 4yang berkehendakkan semua manusia diselamatkan dan mengetahui apa yang benar. 5Hanya ada satu

Allah dan hanya ada satu pengantara di antara Allah dan manusia iaitu Isa al-Masih. 6Dia telah menyerahkan diri-Nya untuk menebus dosa seluruh umat manusia yang akan dipersaksikan pada masanya. 7Itulah sebabnya aku dijadikan pemberita Injil dan rasul – aku berkata benar, aku tidak berdusta – dan sebagai pengajar kepada bangsa asing dalam iman dan kebenaran.

8Oleh itu aku menyeru kaum lelaki di mana-mana sahaja supaya berdoa serta menadahkan tangan yang suci, tanpa kemarahan atau perselisihan.

9Aku juga menyeru kaum perempuan supaya berpakaian serta menghias diri dengan sopan santun dan sederhana. Jangan berhias dengan jalinan rambut yang berlebihan atau dengan emas ataupun mutiara mahupun pakaian yang mahal-mahal. 10Hiasi diri dengan perbuatan baik, yang sepatutnya bagi perempuan yang mengaku taat akan Allah.

11Perempuan hendaklah belajar dengan senyap dan rendah hati. 12Aku tidak membenarkan perempuan mengajar atau memerintah lelaki; dia harus berdiam diri 13kerana Adam telah dicipta dahulu, kemudian barulah Hawa. 14Dan bukan Adam yang terpedaya, tetapi perempuan itu yang terpedaya, lalu melakukan dosa. 15Walaupun demikian, perempuan akan diselamatkan dengan melahirkan anak jika mereka tetap dalam iman, kasih, dan kesucian dengan penguasaan diri.

↑ ↑ ↑ 3

Syarat-syarat bagi penyelia jemaah

1Kata-kata ini benar: Jika seseorang ingin menjadi penyelia jemaah, maka dia ingin akan pekerjaan yang baik. 2Seorang penyelia jemaah haruslah tidak bercela. Dia harus beristeri seorang sahaja, mengamalkan kesederhanaan dan penguasaan diri, dihormati, meraikan tetamu dengan tangan terbuka, dan berkebolehan mengajar. 3Dia seharusnya bukan pemabuk, tidak melakukan kekerasan, lemah lembut, bukan kaki gaduh, dan tidak tamak akan wang. 4Dia mesti tahu mengurus rumah tangganya dengan baik dan mendidik anak-anaknya supaya bersikap taat dan hormat. 5(Jika seseorang tidak tahu mengurus rumah tangganya sendiri, bagaimanakah dia hendak mengurus jemaah Allah?) 6Dia seharusnya bukan seorang yang baru beriman, takut kalau-kalau dia menjadi sombong dan dikutuk seperti Iblis dahulu. 7Dia mestilah mempunyai nama yang baik dan dihormati oleh orang di luar jemaah, supaya dia tidak dicela dan terjerumus ke dalam perangkap Iblis.

8Penolong jemaah juga haruslah orang yang dihormati, bukan orang yang lidah bercabang, pemabuk atau mengejar keuntungan secara haram. 9Mereka hendaklah berpegang teguh kepada rahsia iman dengan hati nurani yang suci. 10Tetapi mereka harus diuji terlebih dahulu dan jika didapati mereka tidak bercela, barulah dijadikan penolong jemaah.

11Begitu juga isteri mereka, mestilah orang yang dihormati, tidak memfitnah orang, mengamalkan kesederhanaan dan penguasaan diri, dan jujur dalam semua hal.

12Setiap penolong jemaah haruslah orang yang hanya beristeri satu dan mendidik anak-anak serta mengurus rumah tangga dengan baik. 13Penolong jemaah yang telah menjalankan tugas dengan baik akan dihormati dan menjadi amat yakin dalam iman dalam Isa al-Masih.

14Aku menuliskan hal-hal ini kepadamu, sungguhpun aku berharap akan dapat mengunjungimu tidak lama lagi. 15Namun, kalau-kalau aku tidak dapat datang dengan cepat, aku menuliskannya supaya engkau tahu bagaimana seharusnya berkelakuan dalam rumah Allah, iaitu jemaah Allah Yang Hidup, tiang dan asas kebenaran. 16Tidak dapat dinafikan betapa mulianya rahsia iman kepada Allah: Ia telah menampakkan diri sebagai manusia, dinyatakan benar oleh Roh Suci, dilihat oleh para malaikat, diajarkan kepada bangsa-bangsa, dipercayai di seluruh dunia, dinaikkan dengan kemuliaan.

↑ ↑ ↑ 4

Arahan Paulus untuk Timotius

1Roh Suci menyatakan dengan jelas bahawa pada akhir zaman sesetengah orang akan berpaling daripada iman, mengikut roh-roh yang memperdayakan dan ajaran roh-roh iblis. 2Ajaran ini disampaikan oleh pendusta yang munafik yang hati nuraninya bagaikan diselar besi panas. 3Mereka melarang orang berkahwin dan menegah orang memakan makanan yang telah dijadikan Allah untuk diterima dengan syukur oleh orang yang beriman dan mengetahui ajaran yang benar. 4Setiap ciptaan Allah itu baik, dan tiada suatu apapun yang harus ditolak, asalkan diterima dengan syukur,

5kerana segalanya telah disucikan dengan firman Allah dan doa.

6Jika engkau mengajarkan hal-hal ini kepada saudara-saudara seiman, engkau akan menjadi hamba Isa al-Masih yang baik, yang dipupuk dengan kata-kata iman dan ajaran baik yang telah kauikut dengan teliti. 7Jauhilah cerita-cerita yang bercorak duniawi dan karut, serta latihlah diri menjadi orang yang salih. 8Latihan jasmani ada faedahnya, tetapi kesalihan berfaedah dalam segala hal, bagi kehidupan sekarang mahupun kehidupan akan datang.

9Kata-kata ini benar dan harus diterima sepenuhnya. 10Kita bekerja keras dan berjuang, kerana kita yakin kepada Allah Yang Hidup, Penyelamat semua manusia, terutamanya mereka yang beriman.

11Perintahkan dan ajarkanlah semua ini. 12Jangan biarkan sesiapa menghinamu kerana usiamu yang muda. Jadikan dirimu teladan kepada semua orang beriman dari segi kata-kata, kelakuan, kasih, iman dan kesucian. 13Hingga aku datang nanti, tumpukan perhatian kepada membaca Kitab Suci di khalayak ramai, menyampaikan firman dan mengajar orang. 14Jangan lalai dalam menggunakan kurnia yang diberikan kepadamu melalui nubuat ketika sekumpulan tua-tua jemaah meletakkan tangan ke atasmu.

15Lakukanlah hal-hal ini dengan rajin. Curahkan seluruh keupayaan dirimu kepadanya, supaya kemajuanmu jelas di mata semua orang. 16Berhematlah tentang dirimu dan ajaranmu. Lakukan terus-menerus, kerana dengan demikian engkau akan menyelamatkan dirimu dan mereka yang mendengar kata-katamu.

↑ ↑ ↑ 5

Petunjuk dan nasihat

1Jangan marahi orang yang lebih tua daripadamu, tetapi nasihati dia seolah-olah dia bapamu. Nasihati lelaki yang lebih muda daripadamu seperti saudara lelakimu, 2perempuan yang lebih tua seperti ibumu, perempuan yang lebih muda seperti adik perempuanmu, dengan hati yang suci.

3Hormati balu yang benar-benar hidup sebagai balu. 4Tetapi jika seorang balu mempunyai anak cucu, mereka terlebih dahulu mengamalkan kesalihan di rumah dan membalas budi orang tua mereka, kerana ini baik dan diredai Allah. 5Seorang balu yang benar-benar hidup sendirian tanpa tempat bergantung hanya berharap kepada Allah dan berdoa siang malam. 6Sebaliknya, seorang balu yang hidup berpelesiran sudahpun mati walaupun masih hidup. 7Suruhlah mereka taati segala ini supaya mereka tidak bercela. 8Sekiranya seseorang tidak menjaga sanak saudaranya, apatah lagi seisi rumahnya sendiri, maka dia menyangkal iman dan lebih buruk daripada orang yang tidak beriman.

9Jangan masukkan ke dalam golongan balu mereka yang berusia di bawah enam puluh tahun. Seseorang boleh digolongkan sebagai balu hanya jika dia bersuami cuma sekali, 10dan terkenal berbuat baik, seperti mengasuh anak-anak, menumpangkan orang luar di rumahnya, melayani orang salih dengan hormat, membantu orang dalam kesusahan, serta sentiasa membuat kebajikan.

11Jangan masukkan balu muda ke dalam golongan ini kerana apabila nafsu mengatasi tumpuan mereka kepada al-Masih, mereka hendak berkahwin lagi 12dan dengan demikian dicela kerana mereka telah melanggar ikrar mereka yang pertama. 13Tambahan pula mereka belajar membuang masa merayau dari rumah ke rumah. Bukan itu sahaja, mereka mengumpat dan menjaga tepi kain orang, mengatakan apa yang tidak patut disebutkan. 14Oleh yang demikian aku mahu balu muda berkahwin lagi, mendapat anak dan mengurus rumah tangga, supaya musuh tidak dapat memburukkan nama kita; 15kerana ada yang telah berpaling menurut Iblis.

16Sekiranya seseorang perempuan yang beriman mempunyai ahli keluarga yang kematian suami, dia harus menjaga mereka dan tidak membebani jemaah dengan tanggungjawab itu. Dengan demikian jemaah dapat membantu balu yang tidak ada tempat untuk bergantung.

17Tua-tua yang melaksanakan kewajipannya dengan sempurna layak menerima penghormatan tinggi, terutamanya yang giat menyampaikan firman dan ajaran. 18Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, ‘Jangan berangus mulut lembu yang sedang mengirik biji-bijian,’ dan ‘Orang yang bekerja layak menerima upah.’ 19Jangan percaya tuduhan terhadap seorang tua-tua jemaah melainkan diperkukuh oleh dua tiga orang saksi. 20Apabila orang berbuat dosa, tegurlah mereka di hadapan jemaah supaya yang lain gentar melakukan perbuatan demikian.

21Di hadapan Allah, Isa al-Masih dan malaikat-malaikat yang terpilih, aku mengarahkanmu mematuhi perintah-perintah ini tanpa prasangka atau pilih kasih.

22Jangan terburu-buru meletakkan tangan ke atas seseorang dan jangan turut serta membuat dosa dengan orang. Jaga kesucianmu.

23Jangan minum air sahaja, minumlah sedikit air anggur demi perutmu dan badanmu yang kerap sakit. 24Dosa sesetengah orang ketara lalu dihakimi, manakala dosa sesetengahnya akan ternyata kemudian. 25Demikian juga, sesetengah perbuatan baik terserlah di mata orang, namun yang tidak kelihatan pun tidaklah tersembunyi.

↑ ↑ ↑ 6

1Semua orang yang menjadi hamba harus menganggap tuan mereka wajar mendapat segala penghormatan supaya orang tidak dapat memburukkan nama Allah dan ajaran kita. 2Apabila tuan mereka seorang beriman, mereka tidak harus memandang ringan kepadanya malah harus melayannya dengan lebih baik lagi, kerana yang mendapat manfaat layanan mereka itu saudara seiman yang dikasihi. Hal-hal ini harus kamu ajarkan dan sampaikan sebagai nasihat.

Tamak akan wang

3Jika sesiapa mengajarkan sesuatu yang berlainan dan tidak menerima kata-kata yang benar iaitu kata-kata Isa al-Masih, Junjungan kita, dan ajaran yang selaras dengan kesalihan; 4dia bersifat angkuh dan jahil, asyik bertikai dan berbahas tentang kata-kata, sehingga menimbulkan iri hati, perkelahian, pencacian, syak wasangka yang buruk, 5pertengkaran sia-sia orang yang berfikiran keji dan tidak mengenal kebenaran. Sangkanya kesalihan itu satu cara mendapat keuntungan.

6Kesalihan yang disertai dengan rasa puas dengan apa yang dimiliki, itulah keuntungan besar.

7Kita tidak membawa apa-apa ke dalam dunia ini, dan pasti sekali kita tidak dapat membawa apaapa apabila kita meninggalkannya. 8Oleh itu, jika kita ada pakaian dan makanan, kita harus berasa puas. 9Orang yang mahu kaya tergoda dan terperangkap oleh pelbagai keinginan yang sia-sia dan berbahaya, yang menjerumuskannya ke dalam kerosakan dan kemusnahan. 10Cinta akan wang punca segala kejahatan. Sesetengah orang memburu wang dengan begitu tamaknya sampaikan tersesat daripada iman dan akhirnya menanggung berbagai-bagai kesengsaraan jiwa.

Perintah Paulus untuk Timotius

11Tetapi kamu, wahai hamba Allah, jauhilah segala ini. Amalkanlah kebenaran, kesalihan, iman, kasih, kesabaran dan sikap lemah lembut. 12Berjuanglah dalam perjuangan iman yang benar. Berpegang teguhlah kepada hidup kekal; kepada hidup itulah kamu telah dipanggil ketika kamu membuat pengakuan yang benar di hadapan saksi yang ramai. 13Di hadapan Allah yang memberi nyawa kepada segala sesuatu, dan di hadapan Isa al-Masih yang memberi kesaksian akan pengakuan yang benar kepada Pontius Pilatus, aku berpesan kepadamu, 14taatilah perintah ini dengan sempurna tanpa cela hingga hari Isa al-Masih, Junjungan kita, datang kembali, 15yang akan ditunjukkan Tuhan pada masa yang ditentukan oleh-Nya sendiri. Dia Pemerintah yang suci dan satu-satunya Raja sekalian raja dan Junjungan sekalian junjungan. 16Hanya Dia yang hidup selama-lamanya, wujud dalam cahaya yang tidak dapat didekati, tidak pernah dan tidak dapat dilihat manusia. Bagi-Nya penghormatan dan kuasa selama-lamanya. Amin.

17Perintahkan orang yang kaya pada masa ini supaya jangan angkuh, jangan berharapkan kekayaan yang sebenarnya tidak kekal, tetapi bergantunglah kepada Allah yang hidup, yang melimpahkan segala sesuatu kepada kita untuk kita nikmati. 18Hendaklah mereka berbuat baik, supaya mereka kaya dengan amal kebajikan, sedia memberi, rela berkongsi. 19Dengan demikian mereka meletakkan asas yang teguh bagi diri mereka untuk hari kemudian supaya mereka dapat hidup kekal kelak.

20Wahai Timotius, jagalah apa yang telah diamanahkan kepadamu. Jauhi bebelan dan pertengkaran yang bercorak duniawi serta sia-sia, kononnya atas nama ilmu pengetahuan; 21dengan menyuarakannya sesetengah orang telah sesat dalam hal iman. Semoga Allah memberkatimu.

↑ ↑ ↑