Kitab Suci Zabur dan Injil/2 Tesalonika

diterjemahkan oleh tim Pengamat Kitab Mulia (2013); CC-BY-ND 4.0

Pasal 1 2 3


1

1Daripada Paulus, Silwanus dan Timotius, Kepada jemaah di Tesalonika dalam Allah, Bapa kita dan dalam Isa al-Masih:

2Semoga kasih kurnia dan kesejahteraan Allah Bapa kita dan Junjungan Isa al-Masih menyertaimu.

Ucapan syukur dan doa

3Kami mesti sentiasa bersyukur kepada Allah keranamu, saudara-saudaraku. Ini memang sepatutnya, kerana imanmu bertambah teguh dan kamu semakin kasih-mengasihi. 4Dengan demikian kami berbangga denganmu di antara jemaah-jemaah Allah kerana kesabaran dan imanmu menanggung segala penganiayaan serta kesengsaraan.

5Segala ini bukti nyata penghakiman yang adil daripada Allah, supaya kamu dikira layak memasuki kerajaan Allah, yang untuknya kamu telah menderita. 6Allah akan melakukan keadilan, membalas dengan kesengsaraan terhadap mereka yang menyebabkan kamu sengsara, dan 7Dia akan memberikan kelegaan kepadamu yang menderita dan juga kepada kami apabila Junjungan Isa muncul dari syurga diiringi malaikat-malaikat perkasa-Nya dengan api yang menyala. 8Dia mengenakan hukuman kepada mereka yang tidak mengenal Allah, dan mereka yang tidak taat akan Injil Junjungan kita Isa al-Masih. 9Mereka akan dihukum dengan kebinasaan selama-lamanya, tersingkir daripada hadirat Tuhan kita dan kemuliaan kuasa-Nya. 10Semua itu akan berlaku apabila Dia datang, pada hari itu, untuk dimuliakan oleh para pengikut-Nya yang salih dan untuk diberi penghormatan oleh semua orang beriman. Ini termasuk kamu kerana kamu percaya kepada kesaksian kami di antara kamu. 11Oleh itu kami sentiasa berdoa untukmu supaya Allah Tuhan kita menganggapmu layak dipanggil, dan supaya Dia memenuhi segala hasratmu berbuat kebajikan untuk-Nya serta menyempurnakan segala usaha imanmu dengan kuasa-Nya. 12Dengan demikian, nama Isa, Junjungan kita, akan kamu muliakan dan kamu akan dimuliakan oleh-Nya, dengan kasih kurnia Allah Tuhan kita dan Junjungan Isa al-Masih.

↑ ↑ ↑ 2

Manusia keleluasaan

1Sekarang, saudara-saudaraku, tentang kedatangan Junjungan kita Isa al-Masih dan betapa kita akan dikumpulkan bersama-Nya kelak, kami menyerumu, 2janganlah kamu mudah keliru atau goyah jika orang berkata hari Tuhan sudah tiba kerana kononnya kami yang mengatakan begitu melalui nubuat, ajaran atau surat. 3Jangan sekali-kali biarkan sesiapa memperdayamu kerana hari itu tidak akan datang sebelum berlakunya kemurtadan dan manusia keleluasaan, iaitu anak kebinasaan menampilkan diri. 4Dia akan menentang dan meninggikan dirinya daripada semua yang disembah manusia. Dia akan duduk di dalam rumah ibadat Allah dan mengisytiharkan dirinya sebagai Allah.

5Ingatkah kamu ketika aku masih bersamamu dahulu, aku telah memberitahumu segala ini? 6Kini kamu tahu apa yang menahannya sekarang, iaitu manusia itu akan tampil pada waktu yang telah ditentukan baginya. 7Kuasa rahsia keleluasaan sudahpun mula bertindak. Hanya yang menahannya sekarang akan terus berbuat demikian sehingga disingkirkan. 8Kemudian manusia leluasa itu akan ternyata dan Junjungan Isa akan membunuhnya dengan hembusan nafas dari mulut-Nya dan membinasakannya dengan sinar gemilang kedatangan-Nya. 9Datangnya manusia leluasa itu adalah hasil usaha Iblis, dengan membawa kuasa, alamat dan keajaiban palsu, 10serta tipu helah durjana untuk menyesatkan orang yang binasa kerana mereka enggan menerima dan mengasihi kebenaran yang dapat menyelamatkan mereka. 11Oleh yang demikian Allah menghantar pengaruh yang akan menyesatkan mereka sehingga mereka mempercayai apa yang tidak benar. 12Dengan itu semua yang tidak mempercayai apa yang benar dan gembira melakukan perkara yang salah akan dihukum.


Berdiri dengan kukuh

13Tetapi kami mesti sentiasa bersyukur kepada Allah kerana kamu, saudara-saudara yang dikasihi oleh Tuhan, kerana dari mulanya Allah telah memilih kamu untuk diselamatkan melalui penyucian dengan Roh Suci dan kepercayaan terhadap apa yang benar. 14Allah memanggil kamu melalui Injil yang kami sampaikan kepadamu, supaya mendapat kemuliaan Junjungan kita Isa al-Masih. 15Oleh itu, saudara-saudaraku, berdirilah dengan kukuh dan berpegang teguh kepada segala ajaran yang telah kami sampaikan secara lisan atau melalui surat.

16Semoga Junjungan kita Isa al-Masih sendiri dan Allah Bapa kita, yang mengasihi kita dan menetapkan hati serta meneguhkan harapan kita selama-lamanya dengan kasih kurnia-Nya,

17memberimu perangsang dan kekuatan untuk berbuat dan mengatakan yang baik.

↑ ↑ ↑ 3

Berdoa

1Akhirnya, saudara-saudaraku, doakanlah kami, semoga Firman Tuhan segera tersebar dan dimuliakan, seperti di kalanganmu dahulu. 2Doakan semoga Allah menyelamatkan kami daripada orang yang mungkar dan durjana, kerana bukan semua orang mempunyai iman. 3Tetapi Tuhan setia dan akan menguatkan kamu serta melindungimu daripada si durjana. 4Kami mempunyai keyakinan dalam Tuhan tentang kamu, bahawa kamu sedang dan akan terus mengamalkan apa yang telah kami ajarkan kepadamu. 5Semoga Tuhan membimbing hatimu ke arah kasih Allah dan ketabahan al-Masih.

Amaran terhadap sikap malas

6Tetapi, saudara-saudaraku, kami memerintahkan kamu dengan nama Junjungan Isa al-Masih supaya menjauhkan diri daripada setiap saudara yang hidup malas dan tidak menurut ajaran yang telah kami berikan. 7Kamu tahu bahawa kamu harus mengikut teladan kami. Kami tidak hidup malas ketika bersamamu dahulu. 8Kami juga tidak mendapatkan makanan daripada orang lain dengan percuma. Sebaliknya, kami bertungkus-lumus siang malam supaya tidak membebankan sesiapapun antara kamu. 9Bukan kerana kami tidak berhak menuntut bantuanmu, tetapi untuk menjadi teladan kepadamu. 10Sewaktu kami bersamamu, kami telah memberikan perintah ini: ‘Sesiapa yang tidak mahu bekerja, tidak boleh makan.’

11Kami mendengar ada di antaramu orang yang hidup malas, langsung tidak bekerja tetapi mencampuri urusan orang. 12Dengan nama Junjungan Isa al-Masih kami memerintahkan dan menyeru orang begitu supaya bekerja sewajarnya, menjaga hal masing-masing dan mencari nafkah sendiri. 13Tetapi kamu, saudara-saudaraku, janganlah jemu berbuat baik.

14Jika sesiapa tidak mengikut apa yang kami tuliskan di dalam surat ini, perhatikan dia dan jangan bergaul dengannya, supaya dia berasa malu. 15Namun, jangan pula anggap dia sebagai musuh. Sebaliknya nasihatilah dia sebagai saudaramu.

Salam akhir

16Semoga Tuhan, sumber segala kesejahteraan, sentiasa mengurniaimu kesejahteraan dalam segala hal. Tuhan bersama kamu semua.

17Salam daripada Paulus, kutulis dengan tanganku sendiri dalam setiap surat, demikianlah kutulis.

18Semoga kasih kurnia Junjungan kita Isa al-Masih menyertai kamu semua.

↑ ↑ ↑